Berita

Misi Jakel Bersamamu di Janda Baik

BANJIR lumpur setinggi tiga kaki yang melanda turut menjejaskan tingkat satu Madrasah tersebut.
- Diterbit 1 Januari 2022 6:00 AM MYT

HUJAN lebat serta paras air yang meningkat di Pahang telah menenggelamkan 10 buah rumah guru agama Madrasah Ar-Raudah, Janda Baik, baru-baru ini.

Atas dasar keprihatinan, tim Jakel Bersamamu tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban guru serta pelajar tahfiz yang terjejas.

Menurut Pengurus Besar dan Operasi Peruncitan, Azlan Abu Bakar berkata apabila timnya mendapat perkhabaran mengenai kejadian tersebut, mereka cuba menghubungi salah seorang individu yang berada di sana.

“Kami dapat hubungi ustaz Hassan untuk mengetahui keadaan semasa di mana ketika itu air sudah pun di paras dada.

“Ketika kejadian juga tiada kenderaan yang dibenarkan masuk untuk menyelamat kerana keadaan sudah berbahaya,” katanya yang terpaksa menunggu air surut sebelum bantuan dapat diberikan.

Azlan berkata timnya hanya dapat memasuki kawasan madrasah tersebut pada hari Isnin berikutnya.

“Seramai 30 kakitangan Jakel telah turun dan keadaan ketika itu agak teruk di mana kami terpaksa memanggil jentolak untuk membersihkan lumpur supaya ada laluan kenderaan keluar masuk.

“Tim kami telah memasuki hari kesembilan berada di sini sejak Isnin lalu dan akan bertukar orang untuk melakukan tugasan pada setiap hari,” jelasnya mengenai keadaan di Madrasah Ar-Raudah seusai banjir surut.

Katanya, pihak Jakel turut menghulurkan bantuan dari segi makanan dan juga tenaga bagi membersihkan lumpur di rumah guru-guru yang terjejas.

“Kami masih lagi meneliti mengenai bantuan seterusnya yang perlu diberikan kepada 10 orang guru yang tinggal sehelai sepinggang.

“Buat masa ini kami tidak meminta sumbangan daripada orang luar tetapi kami telah menerima sumbangan daripada satu pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebanyak RM500 manakala perbelanjaan yang lain adalah dana kami sendiri,” ujarnya.

Tambah Azlan, pembersihan madrasah telah selesai sebanyak 80 peratus manakala 70 peratus bagi kuarters guru dan timnya akan terus berada di sana sehingga minggu hadapan serta dijangka ketika itu operasi pembersihan sudah pun selesai.

Madrasah tersebut adalah milik seorang individu korporat dan dibangunkan bagi membantu golongan B40 yang cemerlang dalam pelajaran serta cenderung dalam agama. Segala perbelanjaan madrasah tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pemiliknya. –WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas