Agama

Demi ilmu dan pahala, tukang gunting rambut tekad jadi mutawwif

|||||||SERAMAI 2
- Diterbit 4 Julai 2023 10:42 PM MYT

DEMI kepuasan diri untuk mengumpul ilmu dan saham akhirat, Shahrir Abdul Malek seorang tukang gunting rambut sanggup menukar kerjaya menjadi mutawwif.

Malah, Shahrir sendiri tidak menyangka tanpa sebarang pendidikan formal dalam bidang agama dan tidak fasih berbahasa Arab, dia kini dilantik sebagai mutawwif pada usia 55 tahun selepas mengikuti pengajian Sijil Profesional Haji dan Umrah (SPHU) dari YEG Academy Sdn. Bhd.

“Sebelum ini saya bekerja dalam bidang perbankan dan perunding kewangan sebelum menjadi tukang gunting rambut. Niat saya pada awalnya adalah untuk belajar tentang ibadah umrah dengan betul.

“Hal ini kerana, saya pernah melalukan umrah pada 2016, tetapi rasa tidak puas kerana waktu itu masih jahil dan kurang ilmu.

“Selepas belajar dan jalani latihan praktikal di Madinah serta Mekah selama dua minggu saya berasa yakin bahawa inilah jalan yang patut saya pilih,” ujar Shahrir.

SHAHRIR kiri sekali ketika membawa jemaah umrah.

Biarpun bermula daripada bawah pada usia yang lewat kata Shahrir tiada istilah terlambat dalam menuntut ilmu dan menggubah diri ke arah yang lebih baik.

“Dulu sebelum mendaftar untuk belajar halangan terbesar adalah diri sendiri. Saya rasa kerdil dan layakkah diri saya untuk menjadi mutawwif?

“Tetapi nasihat saya, buat mereka yang ada niat untuk belajar cuba sahaja dulu jangan teragak-agak,” kata Shahrir menjalani tempoh pengajian selama tiga bulan pada tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi alumni Sijil Profesional Haji dan Umrah, Nur Liyana Rahim, 38, seorang pembantu perakaunan di sebuah hospital swasta langsung tidak pernah terniat untuk menjadi seorang mutawifah.

NUR LIYANA Rahim kini menjadi seorang mutawifah selepas mengikuti pengajian Sijil Profesional Haji dan Umrah (SPHU) dari YEG Academy Sdn. Bhd.

Liyana bagaimanapun tidak menyangka selepas mengikuti pengajian SPHU, dia kini telah membuka syarikat pelancongannya sendiri yang membawa jemaah menunaikan umrah.

“Aturan Allah itu sangat cantik walhal dulu saya tidak tahu apa itu mutawwif dan mutawifah. Selepas belajar SPHU selama tiga bulan dan menjalani latihan praktikal di sana, saya berasa yakin untuk menceburkan diri dalam perniagaan ini.

“Saya akan membawa jemaah pertama menerusi syarikat sendiri pada Ogos ini,” ujar Liyana.

Selain Sijil Profesional Haji dan Umrah buat golongan dewasa, YEG Academy turut menawarkan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah buat pelajar lepasan SPM, yang ingin membina kerjaya sebagai mutawwif dan mutawifah.

Menurut Ean atau nama sebenarnya, Muhammad Aries Sofean Mohd Nor, 21, dia memilih untuk mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Haji dan Umrah kerana minat dan mahu mengumpul pahala sambil bekerja.

Pengalaman belajar teori selama dua tahun dan praktikal selama tiga bulan di Mekah dan Madinah cukup manis baginya.

“Saya menjalani latihan praktikal pada Februari 2022, selepas penularan virus COVID-19. Diakui saya agak bimbang kerana tidak tahu keadaan di sana dan ada atau tidak pekerjaan selepas praktikal memandangkan keadaan pasaran industri haji umrah yang tidak menentu ketika itu.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Pengalaman paling berharga adalah saya dapat ilmu pengurusan jemaah, pengangkutan, penginapan dan ilmu sirah Nabawiah.

“Semuanya dapat dipelajari dalam tempoh tiga bulan di sana,” ujar Ean ditawarkan pekerjaan tetap di sebuah syarikat pelancongan terkenal sebaik tamat latihan praktikal.

EAN mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Haji dan Umrah kerana minat dan mahu mengumpul pahala.

Dalam pada itu, pada program Melahirkan Mutawwif Profesional 2.0 yang berlangsung di IDCC, Shah Alam, Selangor pada 24 Jun lalu, seramai 2,000 orang dari seluruh negara termasuk Brunei hadir untuk mendaftar sebagai pelajar.

Melihat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada pelajar lepasan SPM, tetapi juga golongan dewasa pihak YEG Academy yakin industri haji dan umrah negara akan berkembang dengan pesat pada masa depan.

SERAMAI 2,000 orang hadir pada program Melahirkan Mutawwif Profesional 2.0 di IDCC, Shah Alam, pada 24 Jun lalu.

Pengarah Urusan YEG, Hasan Ithnin berkata, pihaknya agak terkejut melihat sambutan luar biasa daripada bakal pelajar yang berminat mengikuti Diploma Pengurusan Haji dan Umrah dan Sijil Profesional Haji dan Umrah.

“Kami sasarkan sekitar 1,000 orang sahaja yang akan hadir, tetapi yang datang untuk mendaftar dan mengetahui lebih lanjut tentang bidang ini adalah lebih 2,000 orang.

“Ada yang datang dari jauh termasuk Brunei. Sambutan memberansangkan ini membuatkan pihak kami lebih bersemangat untuk memberi yang terbaik bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga untuk kemajuan ummah,” tutur Hasan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas