Berita

DBKL tidak beri diskaun cukai taksiran tahun ini

Kuala Lumpur City Hall (DBKL).
- Diterbit 9 Januari 2023 10:39 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bercadang memberikan diskaun kadar cukai taksiran untuk pemilik hartanah Kuala Lumpur tahun ini seperti yang ditawarkan di Putrajaya, kata Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Jelasnya, DBKL sudah lama tidak menyemak kadar tersebut kerana ia berdasarkan yuran sewa hartanah dan kadar untuk perumahan kos rendah juga akan kekal buat masa ini.

“Kuala Lumpur adalah bandar raya yang lama dan mempunyai pelbagai peringkat dan kategori harga rumah, maka sudah tentu jenis cukai juga berbeza mengikut kategori.

“Malah, DBKL sudah lama tidak menyemak kadar tersebut,” katanya ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk mengkaji semula kadar taksiran hartanah di ibu negara.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran Majlis Pelancaran ePenilaian & Hartanah di Menara DBKL hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan diskaun 30 peratus ke atas cukai taksiran bagi hartanah di bawah RM300,000 di Putrajaya yang dijangka memanfaatkan kira-kira 8,500 isi rumah.

Dalam pada itu, Mahadi berkata mulai 1 April ini pemilik hartanah yang ingin mengemas kini butiran mereka mesti berbuat demikian dalam talian melalui platform baharu.

“Pengguna mesti mendaftar sebelum mengemaskini butiran mereka seperti MyKad dan nombor telefon atau menyerahkan dokumen berkaitan.

“Sistem ini bertujuan untuk menghapuskan penggunaan aplikasi fizikal dan mempercepatkan pemprosesan dalam masa satu hari bekerja,” katanya.

Untuk butiran mengenai platform baharu, layari ejpph.dbkl.gov.my atau hubungi talian hotline di 03-2617 1031/ 1032/ 1033. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas