Berita

DBKL teliti sebelum lulus lesen hiburan

JALALUDDIN (kanan) meninjau keadaan premis yang menyalahgunakan lesen perniagaan dalam satu Operasi Khas pada Ahad.
- Diterbit 22 April 2022 6:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneliti secara terperinci sebarang permohonan lesen perniagaan bagi mengelakkan ia disalah guna terutama untuk penama yang pernah dikenakan tindakan pembatalan, tegas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Jelasnya, ketika ini tiada lesen hiburan yang dikeluarkan ke atas mana-mana syarikat disebabkan negara masih tertakluk di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melarang aktiviti hiburan serta kelab malam beroperasi.

“Sebarang pelanggaran lesen yang melibatkan makanan dan minuman serta hiburan akan dibawa ke Jawatankuasa Pelesenan DBKL untuk dibatalkan lesen operasinya itu akan dijalankan,” katanya kepada Wilayahku ketika meninjau Operasi Khas Bersepadu di Bukit Jalil pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi, Datuk Anwar Mohd Zain dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, Osman Ismail.

Jalaluddin memberitahu, terdapat penama lesen yang dikenakan tindakan pembatalan lesen mengambil inisiatif dengan memohon lesen baharu di bawah nama syarikat yang berlainan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pegawai di Jabatan Pelesenan akan melihat dan meneliti setiap permohonan dengan lebih terperinci, malah sekiranya penama yang sama menubuhkan apa jua syarikat, maka lesen itu tidak akan diberikan kelulusan,” katanya.

Katanya, mana-mana premis yang telah disita atau diberi notis tutup perniagaan, pemilik atau penyewa baharu premis berkenaan tidak dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan yang sama.

“Bermakna, sekiranya premis itu didapati menjalankan aktiviti hiburan yang telah ditutup dan disita oleh pihak DBKL, maka premis itu masih boleh dibenarkan beroperasi tetapi ia mestilah jenis perniagaan yang berlainan daripada perniagaan asal yang telah diambil tindakan tersebut,” ujarnya.

Operasi yang dijalankan pada 17 April 2022 (Ahad) itu turut melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dalam operasi bersepadu tersebut, sebanyak 12 buah premis dibuat semakan di tiga lokaliti sekitar Kuala Lumpur.

Hasil siasatan terperinci, pasukan operasi telah mengambil tindakan menutup serta-merta operasi bagi tiga buah premis di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 kerana menjalankan aktiviti hiburan (muzik) tanpa lesen.

Selain itu, 10 barangan perniagaan berkaitan aktiviti hiburan seperti alat pembesar suara, pengadun bunyi/audio dan alat kawalan konsol Disk Jockey turut disita.

Kesemua premis yang dikenakan tindakan penguatkuasaan didapati telah melanggar syarat lesen yang dikeluarkan oleh DBKL, iaitu menjalankan perniagaan makanan dan minuman tanpa sebarang aktiviti hiburan.

Dalam pada itu, Jalaluddin memberikan amaran kepada pemegang-pemegang lesen supaya jangan terlalu mengambil mudah terhadap isu pelanggaran syarat lesen terutama di Kuala Lumpur.

“Sebarang pelanggaran terhadapnya akan dibawa ke jawatankuasa dan pembatalan lesen perniagaan boleh dikenakan kepa[1]da pemilik premis tanpa prejudis,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas