Berita

Tadarus Al-Quran dapat sambutan positif

NORAZMAN Sallehuddin (duduk,dua dari kiri) bersama sebahagian ahli Jawatankuasa penganjur Program Tadarus Al-Quran dan para peserta yang mengambil bahagian.
- Diterbit 22 April 2022 10:54 AM MYT

SERAMAI 100 kaum wanita dari pelbagai peringkat umur telah mengambil bahagian dalam program Tadarus Al-Quran peringkat setempat baru-baru ini.

Program ilmu dianjurkan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 6, Bandar Tun Razak itu disertai warga penduduk daripada empat kawasan penempatan iaitu Kampung Malaysia, Kampung Malaysia Raya, Kampung Malaysia Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat Seri Malaysia.

Menurut Pengerusi MPPWP Sub Zon 6, Norazman Sallehuddin, selain disertai oleh  warga pertengahan umur, program itu turut disertai 30 wanita muda berusia 28 hingga 35 tahun serta dimeriahkan dengan kariah wanita daripada kalangan AJK Surau.

SEBAHAGIAN daripada 100 peserta yang mengambil bahagian dalam Program Tadarus Al-Quran baru-baru ini.

Katanya, program tersebut juga merupakan antara takwin tahunan MPPWP Sub Zon 6 mendapat sambutan positif dari penduduk setempat yang majoritinya celik Al-Quran serta gemarkan majlis ilmu berunsurkan keagamaan.

Alhamdulillah program Tadarus Al-Quran yang merupakan edisi kedua penganjuran kali ini mendapat sokongan dan sambutan baik daripada komuniti setempat di sini.

“Bermula jam 8.30 pagi kesemua peserta terlibat berjaya menamatkan keseluruhan 30 juzuk Al-Quran lebih kurang empat jam setengah sahaja sambil dipantau oleh guru agama bertauliah,” katanya kepada wakil akhbar Wilayahku, baru-baru ini.

Selain Tadarus Al-Quran, program seperti Bubur Lambuk Komuniti merupakan antara aktiviti pelengkap kalendar takwin tahunan MPPWP Subzon 6 Bandar Tun Razak sejak dimulakan pada tahun 2020 yang lalu.

Mengulas lanjut, Norazman berkata, paling signifikan bagi penganjuran program kali ini adalah penyertaan golongan wanita muda dalam majlis ilmu itu yang mewakili 30 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta.

“Hasil sambutan positif diterima dari warga penduduk setempat, Insha-Allah kami akan teruskan aktiviti seumpamanya pada masa mendatang.

Alhamdulillah, saya yakin bahawa program mengimarahkan Ramadhan sebegini miliki gologan pengikut tersendiri serta menjadi platform tepat bagi eratkan lagi hubungan silaturahim dan ukhwah sesama warga masyarakat di sini,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas