Berita

DBKL, SPWP bantu miliki rumah sendiri

SESI taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Eksekutif SPWP, Muhammad Izzat Amir Mohd Rahimi kepada peserta-peserta terpilih.
- Diterbit 23 Jun 2023 6:00 AM MYT

SKIM Pembiayaan Khas di bawah penyeliaan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) ­diwujudkan bertujuan untuk ­membantu ­penyewa sedia ada yang ­mampu dan berminat untuk ­membeli ­rumah yang ditawarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

SPWP memainkan ­peranannya sebagai pihak yang bertindak ­dalam mengurus segala maklumat dan urusan Skim Pembiayaan Khas Pembelian Rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) MTEN / Perumahan Awam (PA) DBKL.

Terbaharu, seramai 80 orang ­peserta Skim Pembiayaan khas ­bagi fasa 6 hadir mendengar ­sesi ­taklimat dan penyerahan surat ­arahan bayaran di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Kampung Baru, pada Rabu.

Ia diadakan secara ­berperingkat iaitu sesi pertama (9.30 pagi) ­diikuti dengan sesi kedua (10.30 pagi), sesi ketiga (11.30 pagi) dan terakhir ­sesi keempat (2.30 petang).

Salah seorang penyewa di PPR Sri Pantai, Azrina Herman, 45, ­berkata dia dan suami ­hadir pada ­sesi taklimat itu bagi ­mengetahui info lebih lanjut berkaitan skim tersebut termasuk ­proses ­pembayaran dan syarat-syarat yang dikemukakan.

“Kami mendapat tawaran ­untuk membeli rumah daripada ­pihak DBKL sejak tahun 2010 lagi ­tetapi disebabkan ketika itu masih tidak mempunyai kewangan yang ­stabil kami menangguhkan tawaran tersebut.

“Namun, pada tahun 2020 yang lalu, memandangkan anak sudah ­besar dan kami sudah menetap di sini sejak Disember 2006, jadi saya dan suami membuat ­keputusan ­untuk membeli rumah ini,” ­ujarnya yang memohon pembelian ­melalui skim pembiayaan khas yang ­disediakan oleh pihak SPWP.

Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana telah dihubungi pihak ­peguam untuk menandatangani perjanjian.

“Kami sangat gembira ­apabila ­menerima panggilan ­daripada SPWP yang menyatakan kami terpilih dan perlu hadir ­pada sesi ­taklimat,” ujar Azrina ­teruja ­menerima ­surat ­arahan ­pembayaran balik pembiayaan.

Dalam masa yang sama, Azrina turut memuji kakitangan SPWP yang sentiasa memberi ­kerjasama baik dalam segala urusan yang dilaksanakan.

“Saya faham kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua ­tahun lalu menyebabkan ­banyak yang tergendala dan segala ­proses permohonan ditangguhkan. Namun, alhamdulillah mereka ­sangat ­membantu,” kata ibu ­kepada tiga orang anak ini.

Dia turut berharap skim ini ­dapat membantu ­lebih ­ramai ­lagi pihak dan sentiasa ­bekerjasama ­dengan pihak DBKL ­untuk mengenal pasti mana-­mana ­individu yang ­memerlukan ­terutama warga kota. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas