Berita

Mangsa ribut lega terima bantuan YWP

GULAM (dua kanan) menyampaikan bantuan wang tunai kepada Mohd Saiful (dua kiri). Turut sama Shukry (kiri).
- Diterbit 23 Jun 2023 8:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa cakna dengan ­kebajikan ­serta kesejahteraan ­warga Wilayah Persekutuan (WP) selari dengan objektifnya membantu mereka yang memerlukan.

Terbaharu, YWP tampil menghulurkan sumbangan kepada empat orang penduduk yang terjejas dalam kejadian ribut di Jalan Kuching dan Kampung Chubadak yang memusnahkan lima kediaman pada 19 Mei lalu.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Gulam Muzaffar Gulam Mustakim bantuan secara one-off ini bukti bahawa pihak YWP sentiasa mengutamakan warga WP yang dalam kesusahan.

“Bantuan ini juga menunjukkan ­kebersamaan pihak YWP yang sentiasa bersedia dan menjadi antara badan bukan kerajaan (NGO) pertama yang tampil dalam memberi bantuan kepada mangsa-mangsa bencana.

Alhamdulillah bantuan berbentuk wang tunai ini dapat meringankan beban empat orang penduduk Flat PKNS, Jalan Kuching dan seorang dari Kampung Chubadak.

“Kesemua mangsa dalam keadaan baik dan tidak dipindahkan ke mana-mana Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu.

Sementara itu salah seorang penerima, Mohd Saiful Othman, 42, berkata bantuan yang diterima dapat mengurangkan bebannya membaik pulih kerosakan kediaman.

“Saya kerugian sebanyak RM5,000 namun saya bersyukur kerana masih ada pihak yang prihatin dan sudi membantu. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak YWP, ­wakil parlimen Batu dan Persatuan Penduduk Jalan Kuching,” ujarnya kepada Wilayahku.

Terdahulu, sesi penyerahan bantuan ­diadakan di Pejabat Persatuan Flat PKNS, Jalan Kuching. Turut hadir wakil penyumbang Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP yang juga Pengurus Projek Mah Sing Group Bhd, Shukry Aseman. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas