Berita

Penjaja, peniaga syukur PM perjuang hak rakyat

ANWAR (dua kanan) meluangkan masa menikmati sarapan pagi di Pusat Penjaja Madani, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Turut sama Rosida (kanan).
- Diterbit 23 Jun 2023 4:00 AM MYT

KERAJAAN Perpaduan ­sentiasa komited ­dalam memastikan nasib ­penjaja dan peniaga kecil terbela ­seterusnya memastikan mereka dapat ­menjalankan perniagaan dalam ­suasana kondusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi ­merealisasikan perkara tersebut, Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur merupakan salah ­satu ­inisiatif Kerajaan Madani ­untuk ­menaik taraf fasiliti gerai-gerai ­peniaga kecil dan penjaja sedia ada kepada fasiliti yang lebih kondusif dan selesa.

“Sambil kita sibuk ­membangunkan gedung dan mercu tanda, usah ­kita sisihkan penjaja dan peniaga yang juga mahukan tempat selesa ­berserta kemudahan kepada mereka untuk mencari rezeki selain menjadi ­lokasi tarikan pengunjung.

“Untuk itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang ­melaksanakan penyelenggaraan di seluruh 68 pusat penjaja milik DBKL di sekitar ibu kota.

“Ada beberapa kawasan ­pembersihan air, saliran parit dan bumbung yang akan kita ­perbaiki segera pada tahun ini juga,” ujar ­beliau ketika sesi Temu Mesra di Pusat Penjaja Madani, Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Rosida Jaafar.

Antara kerja-­kerja naik taraf yang telah dijalankan ­melibatkan ­pengindahan fasad serta ­sistem lampu limpah, pertukaran dan ­penambahbaikan bumbung, ­kerja-kerja cat semula struktur ­bumbung dan dinding ­tepi, ­pendawaian semula, penggantian semula ­kipas dan ­lampu di ruang yang sama ­termasuk ­penggantian paip air yang pecah.

Sebelum ini, Anwar ­berkata ­beliau akan lebih berbangga ­jika Kerajaan Perpaduan memberi ­perhatian dan memberi ruang yang baik kepada penjaja dan peniaga ­kecil di ibu kota serta bandar besar lain seluruh negara.

Pusat penjaja yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Penjaja Jalan Tuanku Abdul Rahman ­mempunyai 20 unit gerai dibina pada tahun 1974 dan ia telah dinaik taraf bermula Mac 2023 dan siap pada April 2023.

Sementara itu, peniaga ­nasi ­lemak, Azman Katumin, 50, ­berkata pembaharuan yang ­dilaksanakan oleh kerajaan melalui DBKL ­memberi nafas baharu kepadanya setelah ­berniaga selama 25 tahun di kawasan tersebut.

“Kalau sebelum ini, ­keadaannya nampak kosong tetapi dengan ­inisiatif DBKL menaik taraf ­semula lokasi niaga ini ternyata memberi ­tuah ­kepada seluruh peniaga di sini.

“Kita pun rasa lebih selamat. Kalau dahulu inilah gerai jualan dan inilah juga laluan pejalan kaki tetapi sekarang kalau dah selesai berniaga, kawasan ini akan dikunci sekali gus keselamatan harta benda terjamin,” katanya kepada Wilayahku.

Perkara tersebut turut ­diakui Muhammad Razman di mana ­banyak pembaharuan yang dilakukan ­kerajaan dalam meningkatkan taraf kehidupan peniaga dan penjaja kecil.

“Terima kasih PM dan DBKL. Diharapkan selepas ini ­dapat ­dipertingkatkan lagi usaha ­memelihara nasib golongan ­seperti kami,” ­ujarnya bersyukur Pusat Penjaja Madani juga turut menjadi pilihan pelancong asing. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas