Berita

DBKL gerak inisiatif bantu penghuni PPR dapat kerja

KHALID-PPR
KHALID (empat dari kanan) dan Nor Hisham (empat dari kiri) bergambar bersama pemenang-pemenang pertandingan kebersihan pada Majlis Perasmian Perumahan Ku Bersih dan Karnival Kerjaya di PPR Pekan Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto ihsan DBKL
- Diterbit 29 Ogos 2019 4:36 PM MYT

KUALA LUMPUR – Sebanyak kira-kira 1,000 peluang pekerjaan disasarkan untuk ditawarkan kepada penduduk di sekitar Parlimen Kepong dan Batu melalui inisiatif Program Karnival Kerjaya yang diusahakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, program pemadanan kerjaya diadakan sebagai salah satu pengisian kepada Inisiatif Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi.

“Program ini dijalankan dengan kerjasama Jobs Malaysia yang menawarkan peluang pekerjaan kepada gologan belia dan anak muda.

“Usaha ini juga dapat meningkatkan pemerkasaan ekonomi penduduk di PPR Wilayah Persekutuan,” katanya pada Majlis Perasmian Inisiatif Wilayah Peduli Bagi Program Perumahan Ku Bersih dan Karnival Kerjaya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong di sini baru-baru ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Khalid berkata, DBKL sangat prihatin dengan nasib penghuni di PPR dan Perumahan Awam yang mempunyai tunggakan sewa yang tinggi disebabkan kehilangan punca pendapatan, hilang upaya, masalah kesihatan dan lain-lain.

“Sebagai alternatif mengatasi masalah ini, pihak DBKL akan mewujudkan peluang kerjaya melalui Program Karnival Kerjaya dengan pelbagai peluang pekerjaan bukan sahaja kepada ketua penyewa malah kepada generasi kedua iaitu golongan belia dan anak muda untuk membantu keluarga mereka,” katanya.

Jelas Khalid, program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa ke seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas