Berita

Konsep bina bandar bawah tanah

CONTOH pembangunan bawah tanah di Montreal, Kanada. - Gambar hiasan
- Diterbit 29 Ogos 2019 4:41 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Kepesatan pembangunan di kawasan bandar raya seperti Kuala Lumpur dan kepadatan penduduk membuatkan kawasan ruang di bawah tanah bakal menjadi konsep pembangunan pada masa hadapan.

Bagi tujuan tersebut, satu garis panduan perancangan pembangunan tanah bawah tanah (stratum) sedang dilaksanakan bagi membolehkan sumber tanah dan reruang yang ada digunakan secara optimum.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk TPr Mohd. Anuar Maidin (gambar kecil) berkata, pembangunan dan kajian stratum merupakan satu alternatif untuk menggunakan sumber reruang di bandar dengan lebih berkesan.

Ujar beliau, antara contoh guna pakai stratum adalah pembinaan infrastruktur dan stesen pengangkutan awam di bawah tanah, pelaksanaan pembangunan berorientasikan transit (TOD) serta mewujudkan aktiviti komersial, sosial, industri kreatif dan lain-lain di ruang di bawah tanah.

“Bagaimanapun, mekanisme kawal selia perancangan bagi pem­bangunan ruang bawah tanah perlu di­sediakan supaya setiap pembangunan tersebut diproses dan diluluskan melalui kaedah serta tatacara pemprosesan yang mematuhi peruntukan undang-undang sediada.

“Peruntukan undang-undang me­libatkan pembangunan ruang bawah tanah ini bukan hanya melibatkan pindaan terhadap Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 malah undang- undang lain yang berkaitan dengan pembangunan fizikal seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan lain-lain akta berkaitan,” katanya ke­pada Wilayahku baru-baru ini.

Mohd. Anuar memberitahu, pembangunan stratum adalah penting bagi memastikan kualiti persekitaran dan reruang disediakan di bawah tanah adalah berkualiti tinggi, selamat dan selesa untuk semua penggunanya.

Jelas beliau, garis panduan itu juga disediakan bagi membantu pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi teknikal dan pemaju dalam merancang, mereka bentuk serta mengawal pembangunan di bawah tanah.

Katanya lagi, ia juga diwujudkan bagi memastikan pembangunan tanah bawah tanah menepati matlamat dan prinsip-prinsip perancangan yang telah ditetapkan.

“Pembangunan tanah bawah tanah menjadi tren kepada pembangunan bandar-bandar moden seiring dengan perkembangan teknologi dan pembangunan pesat di bandar-bandar utama.

“Ia diperlukan bagi menampung permintaan keperluan infrastruktur dan hartanah di kawasan yang padat dan mempunyai ruang tanah permukaan yang terhad,” katanya.

Tambah Mohd. Anuar, pindaan kepada Kanun Tanah Negara (KTN) pada tahun 1990 dan terkini 2016, telah membolehkan tanah di bawah tanah diguna dan dibangunkan untuk aktiviti yang dibenarkan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas