Berita

DBKL gempur penjaja tanpa lesen

PENGUATKUASA DBKL ketika menjalankan Tindakan Khas Aktiviti Penjaja Tanpa Lesen dan Penjaja Warga Asing.
- Diterbit 30 Januari 2024 11:56 AM MYT

MESKIPUN pelbagai operasi telah dilakukan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun penjaja dan peniaga tanpa lesen di sekitar ibu kota masih berleluasa dan tidak pernah serik.

Baru-baru ini DBKL menggempur penjaja steamboat di hadapan Ampang Park dan peniaga di Jalan Haji Hussein buat kali kedua.

Menurut pihak DBKL Tindakan Khas Aktiviti Penjaja Tanpa Lesen dan Penjaja Warga Asing di sekitar Jalan Haji Hussein dan Jalan Ampang (hadapan LRT Ampang Park) itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Titiwangsa.

“Tindakan khas ini dibuat secara mengejut melalui pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan dan penjajaan seperti penjaja makanan, minuman dan lain-lain aktiviti yang membuat kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, salah guna lesen, halangan tred perniagaan di tempat awam dan penjaja warga asing,” katanya menerusi satu hantaran di laman rasmi DBKL hari ini.

Operasi yang dilakukan pada Isnin 29 Januari 2024 itu turut mengenakan enam tindakan sita.

“Melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL membuat enam tindakan sita dan pindah barangan/peralatan yang diletakkan di tempat awam terhadap pemilik restoran/gerai, penjaja tanpa lesen warga negara dan penjaja tanpa lesen warga asing menerusi kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Ia merupakan Tindakan Khas kali kedua yang dijalankan di lokasi sama di mana operasi pertama telah dilakukan pada 18 Januari lalu dan antara peralatan yang disita adalah kerusi meja, payung lipat, skuter elektrik, kenderaan steamboat (lolo) dan lain-lain,” ujarnya.

Tambahnya, barangan dan peralatan yang disita, dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas