Berita

Cuaca panas: Orang ramai diingatkan elak lakukan pembakaran terbuka

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 13 Mac 2024 1:55 PM MYT

PEJABAT Meteorologi Labuan mengeluarkan peringatan menggesa orang ramai agar mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka memandangkan musim kemarau dijangka berterusan hingga suku kedua tahun ini.

Dalam kenyataan kepada Bernama, pejabat itu memaklumkan pulau bebas cukai berkenaan mengalami pengurangan penurunan hujan yang ketara sejak Januari lepas dengan kadar hujan antara 2.8 milimeter (mm) hingga 29.6 mm.

“Tiada hujan direkodkan dari 8 Mac hingga hari ini, memburukkan lagi keadaan panas dan kering pada masa ini, namun menjelang hujung Mac hingga April negara dijangka mengalami peningkatan hujan dan ribut petir,” menurut kenyataan itu.

Musim kemarau berterusan ini disebabkan oleh berakhirnya fasa monsun timur laut dan El Nino bagi tempoh antara Februari hingga Mac.

Justeru, pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan mengelakkan aktiviti yang boleh memburukkan lagi keadaan, terutamanya pembakaran terbuka. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas