Berita

Covid-19: Dua beranak antara 8 kematian direkodkan KKM

Keluarga tidak mempersetujui beliau diberi bantuan alat pernafasan
SARINGAN kesihatan dilakukan ke atas peserta ijtimak tabligh.
- Diterbit 21 Mac 2020 12:26 PM MYT

PUTRAJAYA – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan lapan kematian akibat wabak Covid-19, susulan empat lagi disahkan maut petang tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian kelima melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun warga tempatan yang dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada Isnin lalu setelah mengalami demam dan batuk selama lima hari.

Ujar beliau, pada hari kedua, pesakit mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui beliau diberi bantuan alat pernafasan.

“Dia kemudian dibawa pulang oleh keluarganya pada keesokan hari (17 Mac) dan disahkan meninggal dunia pada hari Rabu (18 Mac). Mangsa mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuannya.

“Kes kematian keenam pula melibatkan anak perempuannya yang berumur 40 tahun. Dia dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac setelah mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac lalu. Beliau disahkan positif Covid-19 pada keesokan harinya dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama setelah didapati keadaan kesihatannya semakin merosot.

“Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia pada pukul 1.20 petang tadi. Kes kematian ketujuh melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif Covid-19 dari kluster tabligh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, mangsa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.

Jelasnya, keadaan kesihatan pesakit kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya dan dia disahkan meninggal dunia pada pukul 3.22 petang hari ini.

“Kes kematian kelapan pula adalah melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun daripada kluster tabligh. Dia dimasukkan ke Hospital Tumpat, Kelantan pada 16 Mac setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac.

“Dia dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya. Dia kemudian disahkan meninggal dunia hari ini pada pukul 4 petang,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas