Berita

Tabligh maut keempat Covid-19 hari ini

153 kes baharu direkodkan hari ini
PETUGAS Kesihatan melakukan proses nyahkuman di setiap hospital dan klinik. - Gambar hiasan
- Diterbit 21 Mac 2020 9:09 AM MYT

PUTRAJAYA – Malaysia mencatatkan seorang lagi maut akibat jangkitan wabak Covid-19 dalam tempoh 24 jam selepas kematian ketiga dilaporkan pada pukul 6.27 petang semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian yang seterusnya dilaporkan melibatkan kes ke-238 yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 50 tahun daripada kluster jemaah tabligh.

“Dia dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac lalu dengan gejala Severe Acute Respiratory Infection dan diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi dan ketika dalam penjagaan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kesihatannya merosot hari demi hari sejak dimasukkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia hari ini pada pukul 1:30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, sehingga pukul 12:00 tengah hari tadi, terdapat 153 kes baharu yang dilaporkan dan ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah 1,183 kes.

Jelas beliau, berdasarkan siasatan awal, daripada 153 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 90 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur.

Ujarnya, sehingga kini, seramai 37 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU dan daripada jumlah tersebut, 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, 19 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta disahkan dijangkiti Covid-19.

“Dua daripada 19 orang kakitangan KKM tersebut kini sedang dirawat di ICU. Punca jangkitan bukan disebabkan ketidakpatuhan mereka semasa mengendalikan kes Covid-19 sebaliknya mereka merupakan kontak rapat generasi pertama dan kedua melibatkan kluster jemaah tabligh.

“KKM bekerjasama rapat dengan pihak Pesuruhjaya Bangsa- Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan terbabit dan pencari suaka (asylum seeker) turut diliputi dalam aktiviti pencegahan serta kawalan yang dilaksanakan kerajaan.

“Ini bagi mengekang sebarang penularan jangkitan yang berpotensi berlaku di dalam masyarakat. Bagi mengesan para peserta yang menyertai majlis perhimpunan tabligh melibatkan golongan itu, pihak UNHCR turut bekerjasama dengan pihak IMARET, Muslim Relief Agency dan MERCY Malaysia; selaku rakan kongsi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas