Berita

Harimau Malaya seru orang awam duduk di rumah

TAN CHENG HOE
- Diterbit 21 Mac 2020 12:50 PM MYT

KUALA LUMPUR – Susulan penularan wabak Covid-19 yang kini melanda dunia dan Malaysia, pemain dan pegawai Harimau Malaya turut menyeru semua rakyat Malaysia agar kekal berada di rumah seperti mana arahan Perintah Kawalan Pengerakan yang dikeluarkan kerajaan.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menerusi video yang dikongsi melalui media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menasihati semua pihak supaya mematuhi arahan di samping turut mengingatkan pemain negara agar terus mengekalkan kecergasan dengan latihan di rumah.

“Saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga penyokong-penyokong Harimau Malaya supaya mematuhi arahan kerajaan. Duduk di rumah, jangan keluar. ‘Stay at home and be safe’.

“Marilah kita sama-sama berdoa supaya wabak Covid-19 dapat dibendung dengan segera. Kepada pemain-pemain bola sepak negara, jalanilah latihan sendiri,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd. Radzak pula berharap semua penyokong bola sepak negara sabar menanti saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang ditangguhkan bermula Isnin lalu.

“Kepada semua rakyat Malaysia terutama sekali penyokong-penyokong, saya harap semua duduk di rumah dan sama-sama mengikut arahan kerajaan serta berganding bahu menangani virus ini,” katanya menerusi video yang dikongsi FAM.

Terdahulu, FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menangguhkan segala aktiviti bola sepak mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi membendung penularan virus. –WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas