Berita

Covid-19: 109 kes positif baharu dilaporkan

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 9 April 2020 10:04 AM MYT

PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 terus mencatatkan peningkatan apabila 109 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 4,228 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, sebanyak 121 kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan keluar dari wad adalah 1,608 kes atau 38.0 peratus daripada keseluruhan kes.

“Setakat ini, seramai 72 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 43 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Dr Noor Hisham, pada hari ini dua kematian direkodkan berkaitan Covid-19, kedua-duanya merupakan warganegara Malaysia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 67 kes atau 1.58 peratus.

“Kematian ke-66 merupakan lelaki berumur 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik lain serta mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

“Kes kematian ke-67 pula melibatkan seorang wanita berumur 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid serta mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif Covid-19. Mangsa merupakan kes generasi ke lima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak, namun bukan peserta persidangan tersebut.

“Kedua-dua mereka yang dirawat di Hospital Melaka dan Hospital Umum Sarawak dilaporkan meninggal dunia pada pukul 5 pagi dan 9.42 pagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham menjelaskan, kadar kematian di Malaysia masih berada pada tahap rendah berbanding negara lain iaitu 4.6 dan 5.6 peratus.

“Di Malaysia, peratusan kematian ialah 1.58 peratus. Ini menunjukkan perkhidmatan perubatan yang diberikan di wad atau ICU pada tahap baik dan memuaskan.

“Pakar-pakar kita memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit dan merawat mereka sebaik mungkin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas