Berita

416 kes positif Covid-19 libatkan warga asing

PETUGAS perubatan melakukan saringan kesihatan ke atas penghuni di Selangor Mansion yang majoritinya warga asing.
- Diterbit 9 April 2020 10:40 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengesan sebanyak 416 kes positif Covid-19 dalam kalangan bukan warganegara Malaysia termasuk satu kes kematian yang telah dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, jumlah tertinggi dilaporkan ialah melibatkan warganegara Indonesia iaitu 51 kes diikuti, India (37); Myanmar (31); Pakistan (29) dan Filipina (27).

“Kementerian sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

“Kita juga mendapat banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan juga sukarelawan dalam menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan dengan penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah.

“Contohnya, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seramai 137 orang sukarelawan dari pelbagai sektor telah membantu bagi bersama-sama menjalankan aktiviti ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, kementerian telah memperluaskan ujian pengesanan Covid-19 di sebanyak 43 buah makmal daripada sektor awam, universiti dan sektor swasta.

“Sebelum ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) merupakan satu-satunya makmal yang terlibat secara langsung dalam menjalankan ujian pengesanan Covid-19 di negara ini.

“Terkini, kapasiti maksimum makmal untuk menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19 adalah sebanyak 11,546,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas