Berita

Sumbangan makanan di dua premis PKPD daripada NGO

PKPD yang dilaksanakan di dua premis terlibat menyukarkan penghuninya mendapatkan sumber makanan.
- Diterbit 9 April 2020 9:25 AM MYT

PUTRAJAYA – Bagi memastikan penghuni premis yang diarahkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus mendapat kelangsungan sumber makanan, Kementerian Wilayah Persekutuan menetapkan saluran makanan diberikan tiga kali sehari.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, makanan yang disalurkan kepada kedua-dua premis Selangor Mansion dan Malayan Mansion itu bukan hasil dana kerajaan sebaliknya merupakan sumbangan yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menjawab pertikaian warga net berhubung sumbangan makanan, tegas beliau, walaupun 97 peratus penghuni bukan warganegara, kerajaan perlu melihat mereka sebagai golongan yang memerlukan dan mengalami kesusahan.

“Oleh itu, biarpun dalam amalan biasa warga asing tidak ditanggung oleh dana kerajaan, mereka akan menerima makanan hasil sumbangan NGO atau rakyat Malaysia.

“Saya berikan jaminan bahawasanya semua 1,850 orang dikedua-dua apartment itu, kita akan bekalkan makanan sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu makan pagi dan makan malam. Sarapan pagi diberikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya.

Menurut Annuar, tindakan itu juga susulan penghuni di kedua-dua premis perlu mematuhi penguatkuasaan yang lebih tegas termasuk pemeriksaan kesihatan dan perolehan data-data selain dianggap sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI).

Mengulas tentang aduan yang diterima berhubung terdapat pekerja di tapak pembinaan, jelas beliau, pengecualian telah diberikan kepada industri yang dianggap kritikal dan memastikan keselamatan terjamin misalnya Projek Transit Aliran Massa (MRT) yang sedang dikorek terowong di enam tempat dalam jarak 10 meter.

“Pengorekan terowong tidak boleh dihentikan, ia kena berjalan dalam tempoh 24 jam, kalau pengorekan terowong diberhentikan boleh berlaku tanah runtuh atau sink hole. Pembinaan span panjang merentasi lebuh raya, kalau diberhentikanakan menimbulkan masalah, jadi ketiga-tiga kerja ini iaitu excavation, tundling dan pembinaan span diberikan pengecualian,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas