Berita

Bukan maut akibat COVID-19 tetapi kegagalan organ berfungsi – KKM

- Diterbit 13 Februari 2020 12:39 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menegaskan, dakwaan bahawa kematian seorang pesakit di Pulau Pinang akibat jangkitan COVID-19, seperti yang tular di media sosial sejak semalam adalah tidak benar.

Ini kerana, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Noor Hisham Abdullah, pesakit meninggal dunia disebabkan komplikasi jangkitan kuman dan jantung dengan kegagalan pelbagai organ (Septic shock with multiorgan failure complicated with cardiogenic shock).

Jelasnya, ujian saringan jangkitan COVID-19 dilakukan kerana pesakit didapati mempunyai penyakit radang paru-paru (pneumonia), bagaimanapun, keputusan sampel klinikal dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang dikeluarkan hari ini mengesahkan pesakit negatif.

“Untuk makluman, pesakit berkenaan telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Pulau Pinang disebabkan batuk dan bengkak di kedua-dua belah kaki pada 10 Februari lalu dan dia tidak mempunyai sejarah pergerakan ke China atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan COVID-19.

“Pesakit juga mempunyai masalah kesihatan kronik yang lain dan masih dalam rawatan susulan. Dia kemudiannya dimasukkan ke wad dan seterusnya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) disebabkan tahap kesihatan yang semakin merosot dan meninggal dunia semalam disebabkan komplikasi jangkitan kuman dan jantung dengan kegagalan pelbagai organ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas