Berita

Kes bin Abdullah bukti Islam di martabatkan – KANUN

- Diterbit 13 Februari 2020 12:36 PM MYT

PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu melibatkan ‘bin Abdullah’ bagi anak tidak sah taraf hari ini menunjukkan bahawa perundangan di Malaysia menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-undang Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam), Noorazmir Zakaria berkata, keputusan tersebut jelas mengangkat kedudukan Islam di sisi Perlembagaan dan seterusnya menegaskan bahawa Islam bukanlah undang-undang yang asing sebaliknya perundangan yang asal di negara ini seperti dalam keputusan Mahkamah berhubung kes Ramah Laton.

“Maka, agensi-agensi melibatkan hal ehwal Islam di negara ini, seperti institusi fatwa diangkat oleh Mahkamah Persekutuan sebagai satu institusi yang mesti dirujuk dalam merungkai permasalahan melibatkan hal ehwal Islam.

“Dalam hal ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa anak tidak sah taraf tidak boleh di’bin’kan Abdullah kerana Majlis Fatwa Negeri Johor ketika fakta kes tersebut berbangkit masih belum menggazetkan fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan yang membenarkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut Noorazmir memberitahu, atas faktor tersebut, satu usaha perlu dilakukan supaya dapat menyeragamkan perundangan Islam di negara ini yang turut mempunyai Majlis Raja-Raja dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam.

Tambahnya, ProGuam menyambut baik usaha yang dilakukan oleh pihak Kerajaan dalam mendaulatkan Islam, khususnya melalui Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam memartabatkan undang-undang Syariah di negara kita.

Anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-3 hari ini.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemukakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa dan sebaliknya perlu ‘di bin atau binti Abdullah’. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas