Berita

Bomba sasar periksa 17,000 bangunan tahun ini

- Diterbit 13 Mac 2024 2:47 PM MYT

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sasar untuk memeriksa sebanyak 17,000 bangunan seluruh negara pada tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata ia sebagai salah satu langkah proaktif bagi meningkatkan tahap ketersediaan sistem pemasangan keselamatan dalam bangunan di negara ini.

Tambah Kor Ming, ianya menunjukkan usaha pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkasakan program pencegahan kebakaran bagi mengurangkan kerugian kepada ekonomi negara.

“Bagi bulan Januari sahaja, sebanyak 4,027 inap desa atau homestay dan bilik penginapan, telah dibuat pemeriksaan penguatkuasaan bahaya kebakaran.

“Begitu juga pada bulan Februari lepas, sebanyak 122 blok di 22 kawasan perumahan awam yang sudah berusia lebih 30 tahun di kawasan Kuala Lumpur turut diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain aspek kebakaran, beliau berkata aspek pengurusan air juga memainkan peranan penting dalam memastikan kecekapan pengoperasi kebombaan.

“Oleh itu, sukacita pihak kementerian ingin memaklumkan bahawa pihak JBPM telah berjaya memeriksa 405,529 pili bomba di seluruh negara. Pemeriksaan ini melebihi 100 peratus daripada jumlah keseluruhan pili bomba awam bagi tahun 2023.

“Sehubungan itu, pada tahun ini pihak kementerian melalui JBPM akan meningkatkan kekerapan pemeriksaan ke atas pili bomba awam yang berada dalam radius tujuh kilometer daripada balai bomba,” ujarnya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan pili bomba yang telah direkodkan di seluruh negara pada tahun 2023 adalah sebanyak 422,472 unit, kira-kira 357,130 unit adalah pili bomba awam manakala 65,342 unit pili bomba swasta.

Sementara itu, beliau berkata, pembangunan projek rintis Command, Control, Commmunication, Computerized and Inteligence telah dilaksanakan mulai pada 1 Mac lalu dan dijangka siap pada Februari 2026 dengan kos sebanyak RM47.74 juta.

Projek rintis ini katanya, bagi memperkukuhkan lagi sistem kawal dan perintah inisiden, dan mengaplikasikan penggunaan teknologi terkini, kecerdasan buatan serta mengoptimumkan data raya.

“Projek perintis ini juga adalah salah satu langkah yang seiring dengan dasar dan usaha pendigitalan Kerajaan MADANI,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas