Sekilas

BizNita: Modal khas usahawan wanita

||
- Diterbit 21 Disember 2020 7:30 AM MYT

BERDASARKAN rekod yang dikeluarkan menerusi platform edagang Shopee, 72 peratus daripada 11, 850 penjual tempatan di Malaysia adalah usahawan wanita.

Kebanyakannya menjual produk kesihatan, kecantikan, pakaian wanita dan aksesori fesyen dengan jumlah perolehan purata sebulan adalah RM3,950.

Justeru, tidak hairanlah apabila kerajaan menyediakan peruntukan Belanjawan 2021 bagi memulihkan ekonomi termasuk meningkatkan pembangunan wanita menerusi bidang keusahawanan.

Menyahut seruan kerajaan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperkenalkan produk baharunya yang dikenali sebagai Ar Rahnu BizNita.

Pemangku Ketua Pengarahnya, Parihah Hasan berkata, BizNita diwujudkan selepas pihaknya meneliti data daripada produk Ar Rahnu Bisnes yang mana 64 peratus daripada 8,000 pelanggan terdiri daripada golongan wanita.

Malah, katanya, YaPEIM juga mendapati, daripada 760,000 pelanggan Ar Rahnu, 61 peratus adalah kaum wanita.

“Sudah 20 tahun kita tawarkan perkhidmatan Ar Rahnu dan berdasarkan data yang diperoleh, ramai yang menggunakannya untuk tujuan produktif seperti perniagaan serta pendidikan.

“Apabila kita perkenalkan Ar Rahnu Bisnes pada 2019, dalam tempoh setahun sahaja kita sudah keluarkan RM180 juta.

“Daripada itu, kita kemukakan data kepada Kementerian Kewangan tentang langkah yang dilaksanakan bagi membantu usahwan khususnya golongan wanita,” katanya semasa sesi wawancara bersama Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Parihah, menerusi kaji selidik yang dijalankan, YaPEIM melihat wanita memainkan peranan utama dalam pembangunan ekonomi negara dan keluarga sama ada mereka bekerjaya mahupun suri rumah.

“Mungkin ada antara ketua keluarga yang terpaksa berhenti kerja atau pun kekurangan kewangan dan sebagainya, jadi pada masa itulah wanita memainkan peranan penting.

“Mereka melibatkan diri dalam perniagaan, ada yang secara kecil-kecilan mahupun menjadi usahawan yang berjaya,” jelas Parihah yang turut menggalakkan wanita menyimpan emas yang merupakan aset mudah cair.

SKIM MUDAH TANPA BIROKRASI

Mengulas lanjut tentang Ar Rahnu BizNita, beliau berkata, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi produk tersebut yang dianggarkan memberi manfaat kepada 2,500 pelanggan wanita.

“Antara objektif kita adalah bagi meningkatkan aksesibiliti wanita kepada pembiayaan di bawah Program Mikro Kredit Ar Rahnu sebagai medium mendapatkan modal bagi tujuan perniagaan terutamanya yang tidak mempunyai akses kepada pinjaman di institusi kewangan.

“Pelanggan boleh datang buat gadaian dan dapat pembiayaan dalam tempoh 15 minit. Kita bukan menidakkan institusi perbankan untuk memberi pembiayaan, tetapi prosesnya lebih panjang dan memerlukan pelbagai peringkat kelulusan.

“Pelanggan juga sukar membuat pinjaman sekiranya nama mereka direkodkan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) atau CTOS Data Systems Sdn Bhd,” ujarnya.

Menurut Parihah, produk yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan itu juga bersifat mikrokredit yang mana tempoh gadaian adalah 10 bulan iaitu enam bulan pertama ditambah dua bulan berikutnya dan dua bulan lagi.

Katanya, jika pelanggan tidak dapat menebus dalam tempoh yang diberikan, mereka boleh sambung lagi sehingga dia benar-benar mampu menebus emas yang digadai.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, YaPEIM juga akan menyediakan pakej sama ada pembiayaan di bawah inspirasi biaya ataupun pakej latihan, tunjuk ajar, inovatif dan sebagainya bagi memperkasakan pelanggan dan perniagaan.

Tambah beliau, proses untuk permohonan juga lebih mudah yang mana pelanggan perlu berusia lebih 18 tahun dan membawa Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kelebihan YaPEIM Ar Rahnu Biznita
– Meningkatkan aksesibiliti wanita kepada pembiayaan di bawah Program Mikro Kredit Ar Rahnu sebagai medium mendapatkan modal bagi tujuan perniagaan dengan menjadikan emas sebagai aset mudah cair
– Proses permohonan modal perniagaan yang pantas, patuh syariah dan diyakini
– Margin pembiayaan sehingga 80 peratus nilai emas
– Upah simpan serendah 0.03 sen sehari
– Menggalakkan wanita menyimpan emas sebagai pelaburan alternatif

Syarat dan cara permohonan
– Dibuka untuk usahawan wanita
– Mempunyai lesen Syarikat / Sijil SSM yang sah dan aktif

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas