Biz

Sime Darby Plantation utamakan kebajikan pekerja

- Diterbit 20 Disember 2020 7:22 AM MYT

KEBAJIKAN warga kerja Sime Darby Plantation Bhd (SDP) menjadi keutamaan tertinggi dan syarikat telah mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mencari penyelesaian saksama dalam situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini dan cabaran semasa, menurut syarikat itu.

Menerusi kenyataan hari ini, SDP menjelaskan pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa yang relevan untuk mencari jalan bagi memudahkan, dan sebaik mungkin untuk mempercepatkan pelaksanaan penghantaran balik pekerjanya.

Menurutnya, sejak Julai 2020, ia telah berjaya menghantar balik 1,125 pekerja asing, terutama yang berasal dari Indonesia, India, Bangladesh dan Nepal, dari semua operasinya di seluruh Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Helmy Othman Basha berkata kebajikan pekerja adalah keutamaan pihaknya.

“Walaupun apabila mereka pulang ke tanah air mereka. Kami akan sentiasa menghormati hak mereka dan memastikan mereka dapat pulang dengan selamat, tanpa mengira apa pun keadaannya.

“Sebagai tanda penghargaan, kami mengaturkan tempat duduk kelas perniagaan bagi pekerja yang telah bersama kami selama lebih 10 tahun,” katanya.

 

Baru-baru ini, SDP juga berjaya menghantar 149 pekerja ladangnya kembali ke Kolkata, India menerusi penerbangan sewa khas.

SDP menjelaskan, memandangkan pintu sempadan India masih ditutup, pihaknya telah bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Malaysia Airlines, Jabatan Imigresen Malaysia, Kedutaan India, pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta pihak berkuasa di India, untuk memudahkan urusan tersebut.

Pihak syarikat menanggung keseluruhan kos bagi urusan penghantaran balik itu, menurut SDP.

SDP turut menekankan pihaknya telah mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dengan semua pekerjanya menjalani ujian wajib COVID-19.

Pihak berkuasa juga dimaklumkan mengenai keputusan ujian itu dalam tempoh 72 jam sebelum pelepasan, menurut SDP.

Menurutnya, Jabatan Imigresen mula membenarkan pekerja asing dihantar balik pada Julai tahun ini.

“Walaupun sebilangan pekerja SDP memilih untuk terus bekerja dengan syarikat, namun ia menjadi pilihan peribadi, tanpa sebarang paksaan untuk berbuat demikian,” kata SDP.

Syarikat itu menjelaskan semua pekerja asing dilantik melalui kontrak yang menyediakan tempoh tetap pekerjaan dan membenarkan mereka kembali ke negara asal apabila kontrak mereka tamat.

“Kontrak ini juga memberikan pilihan untuk pekerjaan mereka disambung setiap tahun, hingga jangka maksimum 10 tahun, bergantung kepada persetujuan bersama di antara SDP dengan pekerja, serta kelulusan Jabatan Imigresen,” menurutnya.

Buat masa ini, pekerja asing yang permitnya telah tamat dan menunggu untuk dihantar balik, masih tinggal di ladang SDP dengan mendiami perumahan percuma dan utiliti bersubsidi, sementara syarikat berusaha menguruskan perjalanan yang selamat dan efisien untuk mereka pulang ke negara asal masing-masing, kata SDP. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas