Berita

“Bila mereka tiada, yang tinggal hanyalah kenangan” – Zizan Razak

- Diterbit 13 April 2024 9:31 AM MYT

KATA orang, rindu yang paling menyakitkan adalah rindu kepada insan yang telah Allah panggil untuk selama-lamanya.

Sebelum ini kita sering saja terdengar kisah anak yang tidak sempat berbakti dan menggembirakan ibu bapanya kerana terlalu sibuk bekerja. Apatah lagi jika tidak pulang beraya kerana komitmen kerja.

Selebriti popular, Zizan Razak yang berasal dari Dungun, Terengganu menyeru kepada masyarakat terutamanya anak-anak muda agar sentiasa menghargai keluarga meskipun mempunyai kekangan.

“Saya ada ramai rakan usia sebaya yang sering berkata, kalau mak atau ayah masih ada, hargailah masa bersama mereka, sebab bila mereka tiada, yang tinggal hanyalah kenangan dan rindu tidak berpenghujung.

“Kalau tidak ada kekangan yang mendesak, masalah lain, pulanglah berhari raya bersama ibu dan bapa,” katanya kepada Wilayahku.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 40, mengaku hari Raya kurang meriah selepas pemergian nenek tersayang, Zainoon Abdullah, empat tahun lalu.

Jelas Zizan, dia kini meraikan Aidilfitri di ibu kota, ditemani bonda tercinta, Anai Ibrahim.

“Ibu memang duduk dengan saya dan selepas nenek meninggal, kami memang meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja.

“Saya tidak nafikan, walaupun saya masih ada emak, sambutan Aidilfitri terasa kurang seri selepas nenek saya meninggal.

“Rutin sebelum ini tidak sama lagi. Atas sebab itu saya tegaskan, kalau masih ada ibu bapa, pulanglah untuk meraikan masa indah itu bersama mereka,” ujarnya yang bersedia untuk memenuhi undangan rumah terbuka sekiranya berkelapangan.

Sementara itu, ditanya mengenai hadiah kereta mewah yang dihadiahkan kepada ibunya baru-baru ini, Zizan berkata, dia hanya cuba menunaikan impian ibunya.

“Ibu memang dah lama minat kereta tersebut, jadi saya kira bila lagi untuk saya hadiahkan. Lagipun saya mampu dan tak salah untuk saya usaha berikan.

“Bagi saya apa yang penting saya dapat buat dia tersenyum, nak kata balas jasa itu tidaklah kerana jasa ibu tidak mampu saya balas.

“Apa yang penting kita sudah buat sehabis baik untuk bahagiakan ibu atau bapa kita. Kalau terjadi apa-apa insya-Allah kita tidak akan menyesal,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas