Berita

Berkorban sambut lebaran di tengah samudera

- Diterbit 8 April 2024 3:56 PM MYT

‘ALAH bisa, tegal biasa’ itulah perumpamaan Melayu yang menggambarkan situasi pekerja-pekerja barisan hadapan yang berkorban demi negara terpaksa berjauhan dengan keluarga dan menyambut hari lebaran tatkala ramai yang mengambil peluang pulang ke kampung halaman.

Sebelum ini mungkin sudah biasa mendengar petugas barisan hadapan yang sentiasa bersiap siaga demi negara termasuklah petugas kesihatan, petugas keselamatan dan pertahanan seperti anggota polis, tentera dan bomba, namun pekerja yang terlibat di dalam sektor minyak dan gas turut terpaksa melalui pengalaman yang sama dek kerana bertugas di lautan untuk tempoh masa yang panjang.

Meskipun imbuhan yang diterima agak lumayan, namun ia bukan sesuatu pekerjaan yang mudah kerana mereka setiap masa bergadai nyawa ketika melaksanakan tugas di tengah-tengah lautan.

Bagi Muhammad, 47, yang sudah kali kelima dia tidak dapat beraya bersama isteri dan tujuh orang cahaya matanya kerana tuntutan tugas yang memerlukan perhatian dan kepakarannya demi memastikan salah satu sektor ekonomi tersebut terus beroperasi.

Beliau yang terpaksa meninggalkan keluarga yang kini berada di Kudat, Sabah mengakui setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri, perasaan sayu hati akan menjentik kerana mengenangkan keluarga yang ditinggalkan.

“Sejak 15 tahun berkhidmat dalam pekerjaan ini, sudah lima tahun saya tidak dapat beraya bersama keluarga yang berada di kampung bahkan ketika menjalani puasa bersama juga tidak dapat berkesempaatan kerana sudah hampir tiga bulan berada di laut.

“Walaupun begitu, selepas solat sunat Aidilfitri bersama rakan-rakan, saya membuat panggilan video untuk mengubati kesedihan dengan bertanya khabar ahli keluarga,” katanya.

Bercerita lanjut, Muhammad berkata meskipun sudah lima kali menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri di lautan, namun beliau mengakui perasaan sedih akan menerpa setiap kali terpaksa bertugas ketika waktu tersebut.

“Saya perlu kuatkan semangat kerana ini adalah tugas dan tanggungjawab. Namun dengan kehadiran rakan-rakan yang
turut sama mengalami nasib sama, insya-Allah terubat juga kesedihan itu,” katanya.

Tambahnya, meskipun berada di lautan namun ketibaan Hari Raya Aidilfitri tetap disambut dengan kesederhanaan bersama-sama rakan sekerja.

“Setiap tahun sememangnya kami akan dihidangkan dengan juadah hari raya yang telah dibekalkan kepada kami sebelum belayar seperti ketupat, rendang dan kuih-muih. Cuma apa yang berbeza hanyalah beraya dilautan dan berjauhan dengan keluarga tersayang.

“Pada pagi raya pula, apabila mendengar alunan takbir raya membuatkan kami gugur air mata,” katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Muhammad Umar An-Nur,33, dia menyambut Aidilfitri di perantauan kali ini merupakan tahun ketiga di atas kapal.

Katanya, jarak jauh dengan keluarga yang berada di Labuan memberi ruang ‘kosong’ setiap kali perayaan Aidilfitri namun mengakui rakan sekerja yang senasib dengannya mengubati kerinduan kerana ikatan persahabatan umpama sebuah keluarga.

“Tipulah jika tidak sedih kerana berjauhan dengan keluarga pada hari penuh bermakna itu. Namun apa daya terpaksa menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

“Walaupun sejauh mana kami berlayar di lautan dan banyak kali terlepas merayakan Aidilfitri bersama mereka namun hati ini sentiasa bersama keluarga di kampung,” katanya.

Bercerita lanjut, Muhammad Umar berkata persiapan raya anak-anak anak-anak sudahpun disediakan isteri bagi memberikan keceriaan kepada mereka ketika menyambut lebaran nanti.

“Keperluan keluarga adalah keutamaan saya, sebagai seorang bapa dan suami, perbelanjaan dan keperluan lain telah disediakan dan hanya mahu melihat keluarga bahagia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas