Berita

Berdepan hukuman gantung sampai mati, Rabbani doakan Yasin tabah

|RABBANI ditemui pada majlis pelancaran rasmi Melaka Go Digital - Digital Economic Collaboration
- Diterbit 3 April 2022 4:57 AM MYT

BARU-baru ini industri seni dikejutkan dengan penahanan penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman yang berdepan hukuman gantung sampai mati atas tuduhan mengedar dadah dan menanam 17 pokok ganja.

Rakan seperjuangan, kumpulan nasyid Rabbani mengaku bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Yasin dan berharap semuanya dapat diselesaikan dengan baik.

“Sebenarnya kita semua manusia biasa. Tak lari daripada melakukan kesilapan. Cuma dia artis. Sedangkan dia juga manusia pasti buat silap.

“Kami tak mahu komen lanjut tentang isu itu sama ada ia benar atau tidak. Rasanya masyarakat di luar sana lebih tahu keadaan semasa dirinya,” kata salah seorang anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz,48.

Kumpulan Rabbani ditemui pada majlis pelancaran rasmi Melaka Go Digital – Digital Economic Collaboration, di Ayer Keroh, Melaka.

RABBANI ditemui pada majlis pelancaran rasmi Melaka Go Digital – Digital Economic Collaboration, di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Dalam masa yang sama, Azadan yang mewakili Rabbani berharap Yasin terus tabah dan sentiasa mendoakannya.

“Untuk sahabat kami Yasin yang sedang diuji, percayalah ujian yang anda terima ini adalah satu permulaan untuk kita menjadi lebih baik. Kami harap anda terus tabah dan doa kami sentiasa mengiringi.

“Begitu juga dengan orang lain di luar sana yang menghadapi dugaan, mungkin diuji dengan ujian lebih besar, terima dengan redha dan terus berubah.

“Pangillah doktor atau penceramah yang hebat mana pun, tapi mereka tak dapat mengubah diri kita. Yang dapat ubah diri kita sebenarnya adalah diri kita.

“Dengan ujian yang Allah beri ini, ia sebagai langkah untuk kita lebih berjaya dan mendapat yang lebih baik,” jelasnya.

Azadan juga berharap netizen tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh memburukkan lagi keadaan dam menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.

“Kepada netizen, ingatlah setiap perkataan yang kita keluarkan itu, kalau membuatkan orang benci kepada lagu-lagu nasihat atau agama, itu adalah saham yang tak baik.

“Jangan kerana perkataan kita itu membuatkan kita terjurumus ke Lembah maksiat.

“Kalau merasakan berdiam itu lebih baik, berdiam sajalah dan berdoa kepada Allah,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Tertuduh juga didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas