Berita

Beku akaun: Bersatu akan terus beri kerjasama – Hamzah Zainudin

- Diterbit 1 Februari 2023 3:15 PM MYT

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembekuan akaun bank parti itu oleh badan tersebut.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Bersatu menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM itu adalah sebahagian daripada proses siasatan.

“Para pemimpin dan pegawai parti Bersatu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga telah diarahkan agar memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah membekukan beberapa akaun bank milik Bersatu bagi tujuan membantu siasatan.

Difahamkan pembekuan akaun berkenaan mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM berhubung penyelewengan dana RM600 bilion yang digunakan ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Pada 6 Dis lepas, Azam berkata SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas