Berita

Mohamad Sabu terima gelaran Datuk Seri

- Diterbit 1 Februari 2023 3:00 PM MYT

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 164 individu sempena Hari Wilayah Persekutuan 2023 di Istana Negara tadi.

Mendahului senarai penerima istiadat sesi pertama itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang dianugerahkan Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah SMW ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak, Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Dua ahli perniagaan iaitu Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn. Bhd, Datuk Seri Dr Eng Wei Chun, Pengarah Eksekutif Amechanus Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Lawrence Yeo Chua Poh turut tersenarai penerima SMW tahun 2023.

15 individu pula dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) yang membawa gelaran Datuk iaitu Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak JPM, Datuk Toisin Gantor, Timbalan Ketua
Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azah Hanim Ahmad, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner (CP) Datuk Azmi Abu Kassim, dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam.

Turut menerima darjah kebesaran ini antara lainnya adalah Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Datuk Muhammad Azmi Zulkifli, ,Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Datuk Md Shah Mahmood, dan Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran Kurusamy.

Ahli sukan dan atlet yang telah mengharumkan nama negara di persada antara bangsa turut dikurniakan P.M.W iaitu atlet binabadan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Lim Teong Kim, atlet tenpin boling negara, Datuk Shalin binti Zulkifli dan Datuk Arivalagan Ponniyah dari Persekutuan Karate Malaysia.

Selain itu, 16 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (J.M.W.), 19 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kelima iaitu Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W.), 15 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keenam iaitu Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W.) dan 92 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh iaitu Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W.). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas