Berita

Bayaran BKM Fasa 4 diawalkan bermula 15 November – PM

ISMAIL berkata semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November 2022.
- Diterbit 10 November 2022 4:00 AM MYT

PEMBAYARAN Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bernilai RM2.1 bilion yang akan memanfaatkan 5.2 juta penerima bakal dikreditkan ke akaun mereka secara berperingkat selama tiga hari bermula 15 November ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, pembayaran itu pada asalnya dijadualkan dibuat pada Disember, namun dipercepatkan kepada minggu hadapan bagi membantu penerimanya membuat persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijadualkan bermula pada pertengahan bulan ini.

“Bagi BKM Fasa Empat, setiap penerima akan menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing dan pembayaran ini adalah bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini.

“Mereka yang akan menerima bayaran ini terdiri daripada penerima sedia ada bagi kategori isi rumah dan warga emas bujang atau yang tiada pasangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata mereka yang layak menerima bantuan tersebut boleh menyemak status pembayaran bermula 15 November ini, selain boleh merujuk portal rasmi BKM di https://bkm.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut pembayaran.

BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang telah diumumkan dalam Bajet 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula pasca pandemik COVID-19 dan meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.

Secara keseluruhannya, RM8 bilion telah diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun 2022. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas