Berita

Jun Hao tekad kejar Tze Yong

- Diterbit 9 November 2022 5:30 AM MYT

JUARA Masters Indonesia 2022, Leong Jun Hao tekad untuk merapatkan jurang prestasi dengan pemain perseorangan lelaki utama negara, Ng Tze Yong.

Jun Hao berkata kejayaannya merangkul gelaran pertama siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Malang, Indonesia, bulan lepas membakar semangatnya untuk memberikan cabaran sengit dalam kem perseorangan lelaki negara terutamanya Tze Yong.

‘’Memang daripada sekarang saya training lebih lagi untuk kejar (Tze Yong sebagai pemain perseorangan utama negara),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Bekas juara remaja Asia 2017 yang sebelum ini dihimpit beberapa siri kecederaan itu mengakui berasa lega dapat menamatkan kemarau kejuaraan selepas kali terakhir mengecap kejayaan antarabangsa pada Terbuka Finland 2018.

Sementara itu, pemain di kedudukan ke-72 dunia itu berharap dapat memberikan persembahan terbaik pada Bahrain International Challenge dijadual berlangsung pada 29 Nov hingga 4 Dis ini dalam usahanya mengumpul mata sebanyak mungkin sekali gus mengakhiri musim 2022 di ranking lebih tinggi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas