Berita

Bantuan khas kewangan beri impak positif kepada ekonomi dan rakyat

- Diterbit 1 April 2024 11:54 AM MYT

KONGRES Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) percaya bantuan khas yang diterima oleh penjawat awam turut memberi manfaat dan kesan secara tidak langsung kepada ekonomi negara.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, daripada sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran.

“Bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga-peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, CUEPACS merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

“Bantuan yang akan disalurkan pada 5 April ini merupakan manfestasi penghargaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada usaha keras penjawat awam selama ini dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

“Bantuan ini juga bukti Perdana Menteri sentiasa terbuka mendengar pandangan daripada CUEPACS walaupun pada awalnya terdapat khabar yang memaklumkan kerajaan tidak akan memperuntukkan sebarang bantuan khas untuk Aidilfitri memandangkan penjawat awam sebelum ini telah menerimanya pada bulan Februari lalu,” ujarnya.

Jelas Adnan, CUEPACS sebelum ini juga telah beberapa kali mencadangkan kepada kerajaan agar tradisi memberikan bantuan khas untuk Aidilfitri diteruskan juga pada tahun ini, walaupun penjawat awam telah menerima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 pada Februari lalu.

“Alhamdulillah pada akhirnya, Perdana Menteri telah memberi pertimbangan yang wajar bagi membantu penjawat awam. CUEPACS yakin pertimbangan yang diberikan kerajaan pada hari ini memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam.

“CUEPACS memahami situasi semasa dan keputusan yang dibuat kerajaan pada keadaan ekonomi ketika ini. CUEPACS berharap penjawat awam akan terus memberikan komitmen yang penuh dalam memberikan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada rakyat dan negara,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri sebanyak RM500 yang akan diagihkan pada Jumaat ini.

Bantuan tersebut diberikan kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak turut akan diberi bantuan berkenaan.

Manakala semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen yang akan menerima sebanyak RM250. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas