Berita

Bantu persediaan masuk universiti

ANTARA pelajar yang menerima Surat Tawaran Skim Bantuan Awal IPT baru-baru ini.
- Diterbit 10 September 2022 12:00 AM MYT

SERAMAI 18 atlet Wilayah Persekutuan menerima Surat Tawaran Skim Bantuan Awal IPT oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam Majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran kepada Persatuan Sukan Di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur 2022 baru-baru ini.

Bantuan sebanyak RM12,000 disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bagi meringankan beban para pelajar yang akan menyambung pelajaran di peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, bantuan tersebut bagi memastikan anak-anak Wilayah Persekutuan tidak tercicir dalam bidang pelajaran selain meringankan beban mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Di bawah skim ini, permohonan atlet-atlet yang mewakili Wilayah Persekutuan dalam sebarang kejohanan di peringkat kebangsaan adalah layak untuk diberikan pertimbangan khas jika telah mendapat surat tawaran kemasukan ke IPT,” ujar beliau.

“Skim ini terbuka khusus kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang telah mendapat tawaran kemasukan sepenuh masa ke mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam/ Swasta dalam dan luar negara bagi pengajian peringkat Diploma, Ijazah Pertama (Sarjana Muda), Sarjana (Master) dan Kedoktoran Falsafah (PhD),” kata beliau.

Tambah beliau lagi, bantuan yang diberikan membantu para pelajar membuat persediaan kemasukan ke IPT khususnya pada semester pertama pengajian yang memerlukan belanja yang banyak.

“Diharapkan ia dapat dijadikan sebagai pencetus semangat buat para atlet yang lain juga agar terus berjaya bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi seiring dalam akademik juga,” ujar beliau lagi.

Bagi mereka yang belum memohon, bolehlah melakukan sedemikian dengan melayari laman sesawang YWP di www.yayasanwp.org.my untuk permohonan secara dalam talian. Permohonan dibuka sepanjang tahun.

Terdahulu, objektif skim bantuan ini diwujudkan adalah untuk membantu meringankan keluarga berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan untuk mendaftar anak mereka ke IPT.

Antara syarat permohonan adalah pemohon merupakan warganegara Malaysia yang menetap di Wilayah Persekutuan dan pendapatan per kapita keluarga pemohon ialah RM1,000 ke bawah. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas