Berita

Banjir kilat: KWP adakan libat urus dengan 11 Ahli Parlimen KL

SHAHIDAN meninjau salah satu kawasan hot spot banjir kilat yang di bina tembok pasir bagi melindungi limpahan air sungai bagi menangani masalah tersebut.
- Diterbit 10 Jun 2022 4:58 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan melakukan proses libat urus bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi membantu menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di ibu negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sesi tersebut dilakukan supaya semua pihak perlu memahami bahawa usaha mengatasi banjir kilat merupakan tanggungjawab kerajaan yang melibatkan semua pihak.

“Sesi ini akan dilakukan selewat-lewatnya Jumaat ini dan saya akan maklumkan tentang keadaan sebenar mengenai usaha-usaha yang diambil.

“Ia dilakukan supaya semua pihak memahami bahawa mengatasi banjir kilat bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi rakyat juga harus dilibatkan terutamanya dari segi kebersihan dan pembuangan sampah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Surat Tawaran Rumah kepada Mohd Redzuan Abdullah di Taman Sungai Besi pada Selasa.

Shahidan berkata isu pembuangan sampah merupakan antara punca longkang di Kuala Lumpur tersumbat dan ia menyumbang kepada berlaku banjir kilat di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sebelum ini.

“Kita kena ingat, Kuala Lumpur ini agak rendah, jadi kalau sekiranya sampah hanyut dari negeri lain ia akan berkumpul di Kuala Lumpur.

“Saya akan buat yang terbaik supaya air yang mengalir ke Kuala Lumpur ini adalah air yang bersih dan kita juga akan memastikan supaya sampah yang hanyut ini tidak menjadi halangan untuk aliran air yang lebih lancar,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pihak kerajaan akan berunding dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri supaya masalah pembuangan sampah secara berleluasa dapat dikawal.

“Tentang negeri-negeri ini, biarlah kita berunding dengan mereka dan sudah pasti semua pihak, kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri juga bersetuju bahawa pembuangan sampah ini harus dikawal jika tidak, ia akan memburukkan keadaan dan itu kurang bagus,” katanya.

Menurut Shahidan, seluruh rakyat Malaysia harus mengamalkan sikap membuang sampah di tempat yang betul sekali gus dapat menjaga kebersihan dalam negara seperti diamalkan negara negara maju di dunia.

“Sesetengah negara, ia dikenali kerana mempunyai tandas awam dan persekitaran yang bersih. Jadi kita juga hendak dikenali sebagai negara yang bersih atau negara yang mengamalkan pembuangan sampah di tempat yang betul.

“Macam beberapa negara yang sering disebutkan, kalau kita berkunjung ke negara-negara tertentu, orang nak buang sampah merata-rata pun tidak berani, kerana negara itu yang amat mengutamakan kebersihan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, DBKL akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat tumpuan kutu sampah supaya masalah tersebut dapat diatasi.

“Pada masa sama, saliran longkang tanah juga akan dipasang CCTV kerana kita tidak menerima maklumat apa yang berlaku di dalam dan ia agak panjang, bersimpang-siur serta bertembung dengan Selangor.

“Perkara ini diperincikan secara halus di setiap lokasi yang menyebabkan banjir kilat dan kita hendak pastikan tunnel di bawah tanah itu supaya apabila berlaku hujan lebat itu, ia tidak menghalang laluan air,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas