Berita

510 gelandangan, tiga kanak-kanak ditempatkan di pusat transit

NOR HISHAM (empat dari kiri) bertanya tentang keadaan gelandangan yang ditempatkan sementara di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 1 April 2020 7:09 AM MYT

KUALA LUMPUR – Seramai 510 gelandangan termasuk tiga kanak-kanak telah diselamatkan dan ditempatkan di pusat transit dan empat pusat komuniti di sekitar ibu kota sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, selain Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Anjung Singgah di Jalan Hang Lekiu, empat pusat komuniti dan dewan serbaguna milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijadikan pusat penempatan sementara untuk warga gelandangan.

“Empat pusat komuniti dan dewan itu adalah Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras, dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir.

“Kami akan terus menyelamatkan mereka di sekitar ibu kota dan ditempatkan sementara di pusat-pusat komuniti itu sepanjang PKP kerana percaya ada lagi yang masih menyorok bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada wabak Covid-19.

“Sebelum mereka ditempatkan di pusat-pusat komuniti, saringan kesihatan akan dilakukan bagi memastikan mereka betul-betul bebas daripada Covid-19, setakat ini tiada kes positif dalam kalangan mereka,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini hari ini.

Nor Hisham berkata, penempatan sementara gelandangan dijalankan dengan tiga kategori iaitu golongan sihat warganegara, gelandangan bermasalah sakit berjangkit, mental dan penagihan dadah serta warga asing.

“Warganegara sihat ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir masing-masing 181 dan 62 orang, Pusat Komuniti Setiawangsa dengan 95 gelandangan bermasalah serta Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras menempatkan 30 gelandangan yang berasal dari 10 negara.

“Selain itu, kira-kira 99 gelandangan lelaki ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang manakala 43 gelandangan lelaki dan wanita termasuk tiga kanak-kanak berumur tiga, empat dan lima tahun. Kedua-dua pusat ini dikendalikan oleh Yayasan Kebajikan Negara,” katanya.

Kata Nor Hisham, kos keseluruhan operasi ini dianggarkan melebihi RM1.5 hingga RM2 juta meliputi, bangunan, utilii dan peralatan kemudahan asas termasuk tilam.

Nor Hisham memberitahu, pihaknya turut menjalankan sistem data biometrik bagi setiap gelandangan yang ditempatkan bagi memudahkan urusan pelbagai agensi untuk agihan bantuan dan sumbangan.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian di empat pusat penempatan sementara itu dengan agihan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“NGO kena ikut SOP MKN (Majlis Keselamatan Negara), sekarang tidak akan ada lagi yang mengedarkan makanan di Medan Tuanku, tidak boleh beramai-ramai kerana kami ingin menjaga jarak sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) akan membantu mengagihkan bantuan makanan di pusat penempatan sementara ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas