Berita

ASNB wakalah, waqaf felda terima watikah pelantikan mutawalli MAIWP

MOHD Daud (tengah) menyaksikan penyerahan surat watikah yang disampaikan oleh Mohd Nizam (dua, kiri) kepada Amiruddin (kanan) pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Mutawalli di Bangunan PERKIM, MAIWP, pada Khamis. Turut sama, Idris (dua, kanan) dan Setiausaha MAIWP Datuk Mohd Ajib Ismail (kiri). Gambar: Sinar Harian Mohd Daud (tengah) menyaksikan penyerahan surat watikah yang disampaikan oleh Mohd Nizam (dua, kiri) kepada Amiruddin (kanan) pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Mutawalli di Bangunan PERKIM, MAIWP, pada Khamis. Turut sama, Idris (dua, kanan) dan Setiausaha MAIWP Datuk Mohd Ajib Ismail (kiri).
- Diterbit 21 Oktober 2021 9:00 AM MYT

DUA syarikat besar iaitu ASNB Wakalah Sdn Bhd dan Waqaf Felda hari ini menerima watikah pelantikan sebagai mutawalli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pengerusi MAIWP Datuk Dr Mohd Daud Bakar dalam kenyataan hari ini memaklumkan mutawalli adalah pihak yang dilantik untuk mengutip dan menguruskan harta wakaf bagi pihak MAIWP.

“Kelangsungan wakaf MAIWP diteruskan lagi apabila hari ini kita sama-sama menyaksikan dua lagi permohonan mutawalli daripada syarikat besar Malaysia yang telah mendapat kelulusan MAIWP iaitu ASNB Wakalah Sdn Bhd (AWSB) bagi mengendalikan perkhidmatan Wakaf ASNB atau dikenali sebagai Wakaf ASNB.

“Keduanya, Waqaf FELDA yang mengendalikan Perkhidmatan Wakaf Korporat FELDA,” katanya menambah sehingga kini, MAIWP telah menstrukturkan tiga kategori utama untuk setiap mutawalli yang dilantik iaitu Mutawalli Wakaf Pendidikan, Mutawalli Wakaf Unit Amanah dan Mutawalli Wakaf Korporat.

MAIWP dalam kenyataan memaklumkan kebenaran menguruskan wakaf di bawah kendalian syarikat ini bertujuan menggalakkan orang ramai melakukan wakaf selain pengurusan wakaf dapat diuruskan dengan lebih sistematik.

Sebelum ini, MAIWP juga telah meluluskan enam institusi pendidikan untuk menjadi mutawalli kepada MAIWP.

Penyerahan surat mutawalli bagi ASNB disampaikan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif mewakili MAIWP Mohd Nizam Yahya kepada Pengerusi ASNB Sdn Bhd Prof Dr Mohamad Akram Laldin.

Sementara itu, penyerahan surat mutawalli Waqaf Felda pula disampaikan kepada Pengarah Besar Felda Datuk Amiruddin Abdul Satar dan disaksikan Mohd Daud serta Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas