Berita

Tiada cadangan turunkan harga, wujud diskaun untuk Program Rumah Mampu Milik dibawah KWP- Jalaluddin

- Diterbit 21 Oktober 2021 4:00 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) tidak bercadang untuk menurunkan harga atau mewujudkan diskaun bagi dua projek Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah kendaliannya.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, harga jualan bagi Projek Residensi Keluarga Malaysia (RKM) yang ditetapkan adalah tidak melebihi RM200 ribu seunit.

“Harga jualan tersebut adalah berdasarkan kepada kajian kebolehlaksanaan pembangunan perumahan mampu milik RKM di Wilayah Persekutuan.

“Harga tersebut boleh menjadi tarikan kepada pemaju untuk membangunkan 100 peratus komponen RKM tanpa melibatkan dana kerajaan di atas tanah milik Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator N. Balasubramaniam yang bertanya mengenai Projek Residensi Wilayah dan adakah pihak Kementerian bercadang menurunkan
atau mewujudkan diskaun terutama bagi mereka yang pertama kali ingin memiliki rumah dan golongan B40 di Dewan Negara hari ini.

Jelasnya, langkah tersebut dibuat setelah pihaknya mengambil kira kos-kos yang perlu ditanggung oleh pemaju yang meliputi kos tanah, kos pembinaan, kos infrastuktur, kos fasiliti, caj sumbangan dan pematuhan, kos pembiayaan dan lain-lain kos yang terlibat.

Justeru itu, katanya, KWP mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Residensi Prihatin Keluarga Malaysia yang berharga di bawah RM200 ribu dengan keluasan minima 750 kaki persegi (KPS).

Jalaluddin berkata, program Residensi Wilayah (RW) dahulunya dikenali RUMAWIP merupakan program RMM di Wilayah Persekutuan yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Ia kemudian dijenamakan sekali lagi sebagai Residensi Wilayah Keluarga Malaysia.

“Ia dijual dengan harga tidak melebihi RM300 ribu seunit berkeluasan minima 900 kps khusus untuk golongan berpendapatan sederhana M40 untuk memiliki rumah. dan ia telah dijenamakan sekali lagi sebagai Residensi Wilayah Keluarga Malaysia,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas