Berita

Anwar minta KPKM ketuai dan menyelaras sesi libat urus isu padi dan beras

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 Februari 2024 10:25 PM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diminta untuk mengetuai dan menyelaras sesi libat urus mengenai isu padi dan beras secara lebih terperinci dan sesegera mungkin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dan mendengar pandangan semua pihak termasuk cadangan beberapa wakil industri, badan bukan kerajaan yang mewakili pesawah dan pengilang  bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.

Beliau berkata libat urus tersebut perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.

“Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac ini sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini susulan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2024 yang dipengerusikan beliau hari ini.

Anwar berkata dalam tempoh itu, program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI dan lain-lain perlu diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Pada masa sama, Anwar berkata Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga beras putih import (BPI) dalam pasaran domestik supaya ia boleh dijual pada harga lebih rendah, sekali gus mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan itu dengan harga berpatutan.

Anwar dalam pada itu berkata betapa campur tangan Kerajaan MADANI ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan dan harga makanan ruji utama rakyat ini terus stabil di pasaran.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana beliau masih menerima aduan berhubung isu bekalan beras putih tempatan (BPT) yang terhad meskipun bekalan dan harga BPT dalam pasaran domestik secara umumnya terkawal.

Selain itu kata Anwar, rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga BPI di pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan oleh negara pengeluar beras.

“Saya turut menyinggung kepentingan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keberadaan beras di pasaran dan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan atau bertindak mencampurkan kandungan BPT dan BPI untuk dijual dengan harga yang tinggi,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga perlu terus memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat walaupun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5 peratus setakat bulan lepas.

Mesyuarat Khas NACCOL hari ini turut dihadiri oleh Menteri-menteri, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian berkaitan serta Gabenor Bank Negara, selain wakil industri, wakil pengguna, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang merupakan ahli NACCOL. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas