Berita

Anwar disegani, disanjung tinggi di Selatan Thailand – Penganalisis

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 12 Disember 2023 10:20 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan figura asing lagi di kalangan komuniti Islam khususnya di Selatan Thailand, di mana penduduk tempatan menaruh harapan tinggi terhadap beliau untuk membantu menyelesaikan konflik dan mewujudkan keamanan di wilayah mereka.

Profesor Madya Dr Ibrahim Narongraksakhet dari Prince of Songkla University berkata Anwar memahami isu dan konflik (di Selatan Thailand) dengan lebih mendalam.

“Penduduk tempatan menaruh harapan tinggi yang beliau dapat membantu mewujudkan keamaman di Selatan Thailand dan sekaligus meningkatkan pembangunan, perdagangan dan ekonomi di kawasan utara Semenanjung dan empat wilayah di Selatan Thailand,” katanya kepada Bernama apabila ditanya mengenai pandangan beliau akan setahun Kerajaan Madani pimpinan Anwar memerintah Malaysia.

Selain itu, Ibrahim berkata perjumpaan Anwar dan rakan sejawatnya dari Thailand Srettha Thavisin di Sadao, Songkhla baru-baru ini merupakan satu petanda baik untuk memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Thailand.

“Ini merupakan kali ketiga kedua-dua pemimpin berjumpa. ini menandakan kedua-dua perdana menteri komited untuk meningkatkan kerjasama dua hala dan projek-projek kesalinghubungan Malaysia-Thailand, khususnya di sempadan,” katanya.

Anwar dan Srettha yang memegang jawatan Perdana Menteri sejak September tahun ini telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali termasuk lawatan rasmi Srettha ke Malaysia pada 11 dan 12 Oktober lepas.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengajian Asia Timur Universiti Thammasat Kampus Rangsit Penolong Prof Dr Chaiwat Meesanthan berkata Anwar berdepan cabaran sengit dalam mengemudi Kerajaan Madani berikutan keadaan geopolitik dunia semasa.

Sambil memberi contoh, beliau berkata ketidakstabilan ekonomi dunia, konflik Rusia-Ukraine dan Palestin-Israel antara punca menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia termasuk Malaysia.

“Rakyat mahu kerajaan pimpinan Anwar membangunkan ekonomi negara dan mengurangkan kos sara hidup. Namun, Kerajaan Madani berhadapan tugas sukar menyelesaikan isu-isu ekonomi negara berikutan cabaran pasaran global,” katanya.

Setahun pentadbiran Malaysia di bawah pimpinan Anwar, Chaiwat berkata Malaysia kini jelas lebih stabil.

Namun begitu, beliau berkata Anwar dilihat lebih berhati-hati dalam melaksanakan dasar pada tahun pertama menggalas tugas sebagai perdana menteri.

“Beliau berdepan cabaran sengit berbanding perdana-perdana menteri sebelum ini kerana terpaksa menjaga hati semua parti politik dalam kerajaan perpaduannya ketika pelaksanaan dasar demi memastikan kestabilan politik negara.

“Setiap parti politik (dalam gabungan) mempunyai polisi dan ideologi berbeza. Sehubungan itu, Anwar lebih berhati-hati untuk memastikan gabungan itu kekal kukuh,” katanya.

“Anwar tidak asing lagi di kalangan pemimpin-pemimpin di Selatan Thailand. Beliau merupakan seorang pemimpin yang paling memahami keadaan di Selatan Thailand. Namun, buat masa ini, beliau terpaksa memberi tumpuan dalam negara (Malaysia) berbanding isu dan masalah luar negara seperti di Selatan Thailand. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas