Berita

Anthony Loke kongsi video papar komitmen MOT perkasa pengangkutan awam

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 30 Disember 2023 10:30 PM MYT

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke hari ini memuat naik video pendek menerusi akaun Instagram beliau mengenai komitmen berterusan kementeriannya dalam memperkasakan sektor pengangkutan awam demi kesejahteraan rakyat.

Video berdurasi dua minit itu memaparkan pelbagai inisiatif yang telah dilakukan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam negara dengan mengambil kira permintaan pengguna.

Antara inisiatif yang dikongsikan meliputi Program FLYsiswa yang memberi manfaat kepada 50,000 pelajar, pas My50 yang masih berterusan dan pelaksanaan perkhidmatan Komuter Utara bagi laluan Ipoh ke Pulau Pinang.

Selain itu, video itu turut menyentuh inisiatif penambahan bilangan perkhidmatan kereta api dari Kedah, jumlah feri di Pulau Pinang selain meningkatkan kekerapan perkhidmatan rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT) kepada tiga minit pada waktu puncak.

Loke pada ruangan kapsyen memaklumkan setiap usaha dilaksanakan MOT adalah bagi memastikan jaringan perkhidmatan pengangkutan negara terhubung, sekali gus membawa perubahan bermakna kepada rakyat.

“Walaupun bukan semua pelaksanaan oleh Kementerian Pengangkutan sempurna, kami akan terus berusaha untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih sempurna demi anda,” katanya.

Video itu memaparkan senario rakyat Malaysia yang dapat menikmati perkhidmatan pengangkutan berkualiti susulan inisiatif kerajaan dalam menambah baik sistem berkenaan bagi tempoh tahun ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas