Berita

Annuar Musa dilantik Menteri Wilayah Persekutuan

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 9 Mac 2020 12:23 PM MYT

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa kembali semula ke dalam barisan Kabinet apabila namanya diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Pelantikan Annuar meneruskan pendekatan tidak memilih Menteri yang mengendalikan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam kalangan Ahli Parlimen di kawasan wilayah tersebut.

Sebelum ini, di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad, jawatan tersebut disandang Khalid Abd. Samad yang merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

Annuar, 63, yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau berasa insaf kerana segala yang berlaku adalah takdir Allah dan bersyukur kerana terpilih menjadi sebahagian daripada Kabinet Malaysia.

“Ia adalah satu amanah dan tanggungjawab berat. Insya-Allah saya akan melakukan tugas dan berkhidmat sedaya upaya saya,” kata beliau dalam Twitternya petang tadi.

Selain itu, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah mencadangkan namanya untuk dimasukkan dalam senarai Kabinet.

“Semoga Allah sentiasa memberkati dan memudahkan segala urusan dan tugas saya,” katanya.

Annuar sebelum ini pernah menjadi Menteri Kementerian Belia dan Sukan (1990-1993) dan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (1993-1999), kedua-duanya ketika pentadbiran Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat.

Selain itu, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peringat dan ADUN Kok Lanas dan Ahli Parlimen Peringat.

Annuar merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Pembinaan daripada University College of London serta ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau mula berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1981 selama setahun dan Pengarah Bahagian Perancang Korporat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan bagi tempoh sama bermula 1985.

Beliau turut memegang jawatan Pengerusi FAMA (1989-1990) dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dari 2005 hingga Mei 2013.

Annuar turut dilantik Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada tahun 2013-2015 dan dilantik semula pada 2015 sehingga 31 Januari 2017.

Beliau juga membina nama arena bola sepak tanah air apabila pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada tahun 2007 dan melonjakkan nama pasukan yang dikenali ‘The Red Warriors’ itu dalam saingan bola sepak tanah air.

Annuar berjaya membantu pasukan Kelantan merangkul kejuaraan ‘treble’ iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012.

Beliau juga pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi tempoh 2010-2014. – WILAYAHKU

BIOGRAFI

Nama: Tan Sri Annuar Musa

Tarikh Lahir: 18 Mei 1956

Tempat Lahir: Bukit Marak, Bachok, Kelantan

Isteri: Puan Sri Rosniah Abdul Rahman

PENDIDIKAN:

Maktab Tentera Diraja (RMC), Sungai Besi, Kuala Lumpur (1973-1974)

Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (1975-1980)

Ijazah Sarjana Pengurusan Pembinaan, University College, London (1983-984)

POLITIK:

Setiausaha Agung UMNO (kini)

Ahli Parlimen Ketereh (kini)

KARIER:

Menteri Belia dan Sukan (1990-1993)

Menteri Pembangunan Luar Bandar (1993-1999)

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) (2013-2015)

Dilantik semula Pengerusi Mara (2015-31 Jan 2017)

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (2005 hingga Mei 2013)

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) (1990) –

Sumber: Bernama

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas