Berita

Aktiviti interaktif untuk komuniti, tumpuan Program Jom Sihat

KAMARUDDIN Jaffar (tiga dari kiri) ketika menghadiri Program Jom Sihat Bersama Wanita Cakna 3K di Bandar Tun Razak. Turut kelihatan, Sanah Manap (dua dari kiri).
- Diterbit 20 Ogos 2022 4:19 PM MYT

BERANEKA aktiviti interaktif berteraskan komuniti menjadi fokus dalam penganjuran Program Jom Sihat Bersama Wanita Cakna 3K yang dianjur hasil gabungan kerjasama Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) setempat di Parlimen Bandar Tun Razak.

KAMARUDDIN turut mendengar sesi penerangan daripada Pegawai Kesihatan di booth Pemeriksaan Penyakit TIBI.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Muhibbah Mesra Rakyat Kuala Lumpur (PERKEMM), Sanah Manap berkata program dimulakan dengan senam robik seawal 7.30 pagi itu, disertai warga komuniti daripada berbagai peringkat umur.

Katanya, sambutan positif penduduk yang menyertai beraneka aktiviti yang diadakan seharian, menjadi tanda aras penting untuk penganjuran program itu yang berteraskan elemen kecergasan dan kesihatan awam.

“Pelaksanaan Program Jom Sihat Bersama Wanita Cakna 3K dijayakan hasil kerjasama dari Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Insahniah Muafakat Penduduk (KEBIMA), menyajikan pelbagai aktiviti menarik sesuai dengan semua kelompok penduduk di sini.

“Antara acara menjadi tumpuan penduduk termasuklah sesi pemeriksaan kesihatan percuma, pemeriksaan penyakit TIBI selain Pemeriksaan Payu Dara bagi kaum wanita bagi mengenal pasti gejala awal penyakit kanser itu yang banyak dihidapi oleh warga masyarakat tanpa disedari.

“Selain itu, kami juga bawakan berbagai lagi agensi kerajaan dan swasta pada program ini antaranya kemudahan kaunter bergerak Tabung Haji, Perkeso, MAIWP serta AADK sebagai inisiatif satu berikan kemudahan perkhidmatan kepada penduduk setempat.

“Bagi memeriahkan lagi program, beberapa acara turut dianjur antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak serta pertandingan memasak, cabutan bertuah selain booth jualan Ikan Rakyat menjadi pelengkap bagi program yang berorientasikan komuniti ini” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

SEBAHAGIAN pemenang Cabutan Bertuah dalam Program Jom Sihat Bersama Wanita Cakna 3K di Bandar Tun Razak, baru-baru ini.

Berlangsung di pekarangan Surau Jumaat Al-Amin, program itu diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar yang merupakan Timbalan Menteri Luar, meluangkan masa lebih sejam bagi melawat booth pempamer serta beramah mesra dengan penduduk.

Mengulas lanjut, Sanah berkata, selain dari kerjasama KEBIMA diterajui Pengerusinya, Haslina Mohd Idris, program tersebut turut disokong Pejabat DBKL Cawangan Bandar Tun Razak ditunjangi Pengurusnya, Asyqoh Yusof selain Pemadam Kawasan itu.

ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan anyaman.

“Selaku jurucakap program, kami zahirkan jutaan terima kasih YB Datuk Kamarudin atas dana disalur menjayakan program dan ucapan penghargaan semua pihak terlibat melaksanakan Program Jom Sihat dengan jayanya atas semangat Keluarga Malaysia. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas