Berita

300 ekor ayam ‘licin’ dalam Jualan Murah Karnival Semarak Uniti Kemerdekaan

SEAWAL pukul lapan pagi orang ramai sudah mula berkumpul di hadapan Trak MyGrocer@Wilayag bagi mendapatkan barangan basah dan kering dengan harga murah.
- Diterbit 20 Ogos 2022 7:30 AM MYT

SEBANYAK 300 ekor ayam habis dijual melalui inisiatif MyGrocer@Wilayah dalam Jualan Murah Keluarga Malaysia sempena Karnival Semarak Uniti Kemerdekaan Keluarga Malaysia Teguh Bersama di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.

MOHAMAD SHAHRIZZAT

Pegawai Bahagian Pembangunan Ekonomi Belia Yayasan Wilayah Persekutan, Mohamad Shahrizzat Sirun berkata pihaknya bersyukur apabila jualan murah ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung terutamanya ayam, telur dan barangan lain.

“Seawal pukul lapan pagi,pengunjung sudah mula menunggu pembukaan Trak MyGrocer@Wilayah dan Alhamdulillah pukul 12 tengah hari sudah habis dijual.

“Kami tawarkan dengan harga murah berbanding pasaran dan harga bagi seekor ayam yang dijual melalui trak MyGrocer adalah RM15 seekor tetapi untuk Jualan Murah hari ini, kami tawarkan harga RM12 seekor dan ia masih murah berbanding harga di pasaran,” katanya kepada Wilayahku.

Mohamad Shahrizzat berkata, pihaknya tidak menghadkan pembelian barangan, dan pengunjung bebas membeli untuk keperluan mereka.

“Saya melihat rata-ratanya pengunjung di sini membeli dua hingga tiga ekor ayam dan mereka turut mendapatkan barangan kering yang lain seperti telur, beras, tepung, gula, susu, santan dan tin sardin.

“Bagi barangan lain turut dijual murah iaitu kita tawarkan dengan harga RM4 bagi satu pek telur (10 biji), RM11 bagi sekampit beras 5 kilogram dan sekotak santan berharga RM2.90 dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, harga yang ditawarkan dalam program jualan hari ini adalah berbeza seperti yang tertera pada gegantung (bunting) kerana ia adalah untuk kegunaan jualan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar ibu kota.

Dalam pada itu, Mohamad Shahrizzat berkata program jualan melalui inisiatif MyGrocer pada karnival uniti ini hanya berlangsung satu hari sahaja.

“Jika sesiapa yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang murah, anda boleh kunjungi laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengetahui jadual operasi MyGrocer@Wilayah di kawasan PPR/PA yang terpilih,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas