Sekilas

Akibat terlalu percayakan kawan baik… Ezan Ithnin rugi RM2 juta

- Diterbit 22 Mac 2024 11:20 PM MYT

SEBUT sahaja kawan baik, kita semua tahu bahawa mereka antara orang yang paling kita percaya.

Malah mereka juga adalah antara orang yang terpenting dalam hidup kita sehingga hampir 100% rahsia kita dalam genggamannya.

Namun, bayangkan orang yang sama juga ‘menikam’ diri kita dari belakang dan menjadi individu yang mahu melihat kita jatuh sehingga tiada apa-apa.

Begitulah yang terjadi kepada usahawan Ezan Ithnin yang mengaku hampir mahu membunuh diri kerana tertekan dek ditipu kawan baik sendiri.

“Kisah ini berlaku tahun lalu.  Saya mempunyai beberapa orang kawan baik yang juga rakan kongsi dalam bisnes construction .

“Nama pun kawan baik. Jadi segala-galanya dikongsi bersama. Ini kerana dalam berkawan saya niat ikhlas kerana Allah,  ingin sama-sama berjaya.

“Tapi itulah, buat baik belum tentu dibalas baik. Bukanlah saya mengharapkan balasan dalam berkawan, tapi janganlah mengkhianati saya sehingga membuatkan saya jatuh terduduk dengan kerugian keseluruhan sebanyak RM2 juta.

“Jumlah ini merujuk kepada beberapa kali saya ditipu oleh kawan baik yang berlainan. Rasa kecewa, terkilan dan saya hampir mahu bunuh diri kerana terlalu stres.

“Saya jadi murung, kepala berpusing-pusing dan berat badan susut sebanyak 20 kilogram. Dalam masa  yang sama, kerap kali ada suara berbisik kepada saya agar terjun dari bangunan pejabat yang tinggi untuk hilang stres.

“Saya mengucap panjang. Alhamdulillah, Allah gerakkan hati saya untuk tidak melakukan dosa besar itu,” luahnya yang hampir terjun dari sebuah bangunan tinggi sekitar Kuala Lumpur.

EZAN lebih berhati-hati dalam berkawan dan mahu terus fokus bisnes.
BERKONGSI pengalaman bukan untuk mengungkit tetapi sebagai pengajaran buat masyarakat di luar sana.

Ezan yang merupakan usahawan teknologi baharu dan pelancongan itu tidak berniat mahu membongkar kisah yang berlaku dulu, tetapi niatnya mahu berkongsi dengan masyarakat agar berwaspasda terhadap kawan baik.

“Saya yakin, apa yang berlaku kepada saya juga terjadi kepada masyarakat di luar sana. Tidak kiralah apa bidang atau situasi sekalipun,  berhati-hatilah dalam berkawan.

“Kesilapan saya adalah terlalu mempercayai orang lain dan mudah ‘diperbodohkan’ sehingga akhirnya diri sendiri merana. Komitmen yang diberikan hanya sia-sia, emosi terganggu ditambah pula dengan kemurungan dan duit lesap RM2 juta, itu sahaja ‘faedah’  yang saya dapat hasil mempercayai kawan baik.

“Iya, kadang-kadang semua ini di luar kawalan kita. Kita bukannya tahu kalau kawan baik ada hati busuk atau berniat jahat. Di hadapan bukan main baik dan seolah-olah dialah yang paling prihatin, rupa-rupanya dialah yang menunggu masa mahu lihat kita jatuh.

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah rasa nak putus asa. Tapi saya percaya Allah telah mengaturkan yang terbaik buat hamba-hambaNya.

“Apa  yang  berlaku jadikan pengajaran agar tidak berulang lagi,” ujarnya.

“KESILAPAN saya adalah terlalu mempercayai orang lain dan mudah ‘diperbodohkan’” – Usahawan, Ezan Ithnin

Pengalaman pahit itu membuatkan Ezan jadi fobia dan sukar untuk percayakan seseorang.

“Kesannya memang cukup terasa. Hingga kini saya memang susah nak percayakan orang lain, meskipun hari-hari berjumpa.

“Malah, saya jadi trauma untuk ada kawan baharu kerana pengalaman tersebut.

“Ada yang cakap saya ni ‘kera sumbang’ atau anti sosial kerana kurang bergaul. Saya dah tak kisah apa tanggapan orang, kerana pengakhirannya nanti saya juga yang merana. Cukup-cukuplah kena tipu,” tambahnya.

EZAN Ithnin bangkit dengan semangat baharu dan sentiasa percaya aturan Allah itu cantik.

Berbekalkan semangat baharu, Ezan menerusi syarikatnya MYG Group Holding Sdn Bhd, kini sedang aktif mengusahakan bisnes berkaitan teknologi, produk pelancongan dan teknologi dalam pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Insya Allah, dalam masa terdekat syarikat saya akan merasmikan produk-produk kami di Malaysia.

“Selain bisnes, saya seronok kerana produk-produk  yang kami bawa  boleh beri faedah kepada kita semua dalam kehidupan seharian.

“Manusia yang paling baik adalah manusia yang bermanfaat kepada orang lain. Semoga dengan niat baik ini, saya akan terus dimurahkan rezeki dan dikelilingi oleh insan-insan yang baik,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas