Berita

Ahmad Jais antara calon ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw negara

- Diterbit 9 Februari 2023 3:45 PM MYT

LEGENDA sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun antara nama disebut-sebut sebagai calon ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan dalam persediaan negara menghadapi Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata terdapat 12 nama yang sudah dikenal pasti berada dalam radar badan induk berkenaan dan nama ketua jurulatih skuad kebangsaan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Semasa mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) tadi, kita hanya memutuskan mengenai jumlah jurulatih dan pemain. Malam ini Datuk Abdul Halim Suleiman selaku Pengerusi Pemilihan akan bermesyuarat dan berbincang dengan beberapa ahli jawatankuasa memilih pemain dan jurulatih.

“Antaranya nama Ahmad Jais (selain) beberapa (senarai nama) cadangan lain. Itu akan diputuskan malam ini namun keputusannya hanya akan diketahui dalam masa seminggu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat JKK MSN, hari ini.

Tekong pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994, Ahmad Jais bukan nama asing dalam arena sepak takraw negara yang mana beliau pernah mengemudi pasukan Johor menjuarai Kejohanan Piala Emas Khir Johari buat julung kalinya, Disember tahun lepas.

Pada 7 Jun lepas, Azhar Sarabini dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad lelaki negara menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC).

Menyentuh mengenai persediaan ke Sukan SEA Kemboja 2023 yang akan berlangsung 6 hingga 16 Mei ini, Mohd Sumali berkata pihaknya akan membentuk pasukan terbaik untuk menyertai acara chinlone.

“Kita akan cuba menyertai chinlone. Dalam perbincangan tadi belum putuskan kerana ia Kategori B. Namun, kita sudah memutuskan mengenai penyertaan dan jumlah pemain,” katanya.

Acara chinlone kembali ke sukan serantau itu selepas enam tahun, sukan tradisi Myanmar itu menawarkan 12 pingat emas – empat masing-masing dalam acara lelaki, wanita dan campuran manakala enam emas acara lelaki dan empat emas wanita dipertandingkan dalam sepak takraw. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas