Berita

Pinda garis panduan: LPF pelawa penggiat industri kreatif sertai sesi libat urus

- Diterbit 9 Februari 2023 3:30 PM MYT

LEMBAGA Penapis Filem (LPF) mempelawa penggiat industri kreatif menyertai sesi libat urus bagi memberi maklum balas mereka mengenai pindaan Garis Panduan LPF yang diusahakan sejak dua tahun lepas.

Pengerusi LPF Datuk Mohd Dusuki Ya’acob berkata maklum balas itu penting agar LPF dapat memperbaiki mutu perkhidmatan mereka agar sesuai dengan kehendak semasa industri kreatif seiring dengan peredaran zaman dan situasi semasa.

Beliau berkata kali terakhir Garis Panduan LPF dipinda ialah pada 2010.

“Kini Garis Panduan LPF sudahpun berada di peringkat akhir. Bagaimanapun, kita masih memerlukan input dan maklumat daripada industri untuk menambah baik Garis Panduan sedia ada.

“Kita bersikap terbuka untuk mendengar semua pandangan mereka… dan kita hendak tahu apa yang mereka mahukan dalam Garis Panduan baharu. Dari situ, baru akan wujud persefahaman bersama,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat LPF Berkenaan Dengan Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 di sini hari ini.

Lebih 100 penggiat industri kreatif tempatan hadir dalam sesi taklimat itu untuk mendengar lebih lanjut mengenai pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 yang berkuat kuasa 1 Feb lepas.

Mohd Dusuki juga berkata selepas memperoleh semua pandangan daripada industri, LPF akan mengadakan satu lagi sesi libat urus bersama mereka sebelum pindaan itu dibawa kepada pengurusan dan Kementerian Dalam Negeri untuk pengendorsan.

Bagaimanapun, beliau berkata garis panduan yang digubal masih mengekalkan empat tonggak utama iaitu keselamatan, agama, bangsa dan budaya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas