Selebriti

Adegan peluk, berguling-guling, “orang tahu kami suami isteri” – Aeril Zafrel

|AKSI mesra berpeluk Aeril dan Wawa dalam filem Sabda Kekasih||FAUZIAH Nawi bawa watak sebagai ibu kepada Kasih Murni|LAKONAN Sharifah Husna mantap! |SABRI Yunus antara pelakon hebat dalam filem Sabda Kekasih|
- Diterbit 23 Jun 2021 11:31 PM MYT

PASANGAN pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal berasakan adegan mesra,peluk dan berguling-guling yang dilakonkan mereka dalam filem Sabda Kekasih bukanlah isu yang perlu diperbesarkan.

Dalam filem tersebut, Aeril  atau nama sebenarnya Suhairil Sunari,32, yang bawa watak sebagai Bukhari Muslim memeluk mesra kekasihnya Kasih Murni (lakonan Wawa) yang bertudung labuh walaupun mereka belum bernikah.

“Saya tahu watak pasangan kekasih dalam filem Sabda Kekasih ada pegang-pegang dan peluk walaupun belum berkahwin. Bagi saya, orang dah tahu kami memang suami isteri. Tapi tak perlulah menjadi ikutan di luar sana.

“Hakikatnya memang macam tu kan sesetengah orang di luar sana. Cuma perkara itu (tidak jaga batas) janganlah dijadikan ikutan.

“Tapi bagi saya, waktu inilah (ketika shooting filem) saya boleh pegang perempuan, sebab saya tidak pegang atau bersentuhan dengan perempuan lain sebelum ini,” katanya yang mengaku lebih mudah dan selesa apabila berlakon dengan isteri sendiri.

AKSI mesra berpeluk Aeril dan Wawa dalam filem Sabda Kekasih

Dalam masa yang sama, Aeril tetap mengkritik isterinya kerana mahukan yang terbaik.

“Dari segi pergerakan badan, ia agak senang kerana kami suami isteri.

“Namun saya melihat lakonan Wawa dari sudut pandangan seorang penonton. Dia pun dah lama tak berlakon.

“Jadi, biasanya kami ‘bergaduh’ juga di lokasi penggambaran tapi tak adalah bawa ke rumah. Pasal kerja sajalah.

“Memang perangai saya suka cari salah dia dalam kerja kerana mahukan yang terbaik,” jelas Aeril yang bertuah mempunyai isteri yang memahami sikap dan kehendaknya.

FAUZIAH Nawi bawa watak sebagai ibu kepada Kasih Murni

Selain jalan cerita yang menarik, filem Sabda Kekasih ini juga mempunyai tarikan tersendiri apabila turut menampilkan pelakon hebat seperti Fauziah Nawi, Sabri Yunus dan Sharifah Husna.

“Alhamdulillah.. Dengan ibu Fauziah Nawi, kami dapat bina chemistry atau keserasian itu dengan mudah. Apabila sudah lama tidak berlakon dan digandingkan dengan pelakon hebat, saya dapat rasakan auranya.

“Bila digandingkan dengan pelakon hebat, secara tak langsung mendorong saya untuk jadi lebih baik dalam lakonan,” luah Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin,30.

Wawa juga mengaku turut berpuas hati dengan lakonan pendatang baharu Sharifah Husna yang bawa watak sebagai Laila.

LAKONAN Sharifah Husna mantap!

Bagi Wawa, walaupun usahanya untuk mendapatkan kerjasama pelakon wanita lain yang bernama besar gagal, namun dia bersyukur berpeluang berlakon dengan Sharifah Husna.

“Apabila mereka menolak, kami okay saja. Cuma agak mencabar ketika itu sebab kami hubungi ramai pelakon popular perempuan, tapi tak dapat.

“Mungkin mereka tak kenal nama syarikat produksi kami yang masih baharu ini dan jadi pelakon pembantu saya pula tu, memang tak mahu lah. Namun semua itu ada hikmah apabila kami berpeluang berlakon dengan Husna.

“Husna sangat bagus dan kami sangat berpuas hati dengan lakonan serta komitmennya. Dia pun seorang yang rajin mempromosi filem ini,” luah Wawa lagi.

SABRI Yunus antara pelakon hebat dalam filem Sabda Kekasih

Filem Sabda Kekasih ini adalah projek filem pertama bawah syarikat produksi Respected Citizen Production Sdn Bhd yang dimiliki oleh Aeril dan Wawa.

Sabda Kekasih adalah sebuah kisah romantik tragedi yang bermula dengan kisah seorang pemuzik jalanan bernama Bukhari yang mengubah kejahilan dirinya hanya kerana Cinta seorang gadis iaitu Kasih Murni.

Namun berlaku tragedi yang tidak diingini pada hari pertunangan mereka yang menyebabkan kesengsaraan yang dialami oleh pasangan kekasih ini.

‘Kekurangan bukan kedaifan, kelebihan bukan kemuliaan’ ini mengangkat erti sebenar penerimaan cinta bukan hanya pada zahir semata-mata.

Filem yang menelan kos kira-kira RM 1 juta arahan Azhari Zain itu menjalani penggambaran selama 10 hari di Bentong, Pahang dan Sendayan, Negeri Sembilan, tahun lalu.

Tayangan filem Sabda Kekasih bermula hari ini (24 Jun 2021) di Saluran Astro First 480. Rugi kalau tak tonton! – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas