“SAYA sangat bersyukur di atas keprihatinan kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan melalui PEMULIH. Bagi saya, sebagai penerima bantuan isi rumah B40, jumlah peruntukan termasuk kategori M40 tidaklah mencukupi untuk menampung perbelanjaan kewangan isi rumah tetapi kita perlu menghargai tindakan kerajaan yang masih berusaha untuk menghulurkan bantuan di saat ekonomi negara tidak stabil akibat COVID-19.”
“PADA pendapat saya, tiga fokus utama yang diberikan kerajaan melalui PEMULIH adalah satu inisiatif yang menarik kerana membantu semua golongan yang terkesan misalnya dibuang kerja, dibekukan gaji, tiada pendapatan untuk menampung kehidupan. Rakyat perlu menggunakan setiap bantuan yang diberikan sebaiknya dengan mengutamakan keperluan bukan kehendak.”
“PEMULIH merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membantu serta meringankan beban rakyat yang terkesan. Bantuan yang diperuntukkan berjumlah RM150 bilion dalam tiga fokus utama sedikit sebanyak memberi manfaat dan pertolongan kepada rakyat dalam mendepani pelaksanaan PKP.”
“SEBAGAI penerima bantuan golongan bujang, jumlah yang diperuntukkan tidak mencukupi dan sepatutnya tiada perbandingan antara kedua-dua golongan B40 dan M40 kerana semuanya menghadapi masalah dan terkesan akibat PKP. Kebanyakkan golongan bujang ada komitmen sendiri dan mereka tidak lagi bergantung kepada ibu bapa. Saya berharap kerajaan dapat membuka bangunan kerajaan, sekolah untuk dijadikan pusat vaksinasi yang memudahkan orang untuk datang.”
“BAGI saya, tiga fokus utama dalam bantuan PEMULIH bagi membantu rakyat terkesan adalah satu pendekatan atau cara yang sangat baik untuk kelangsungan hidup rakyat Malaysia terutama dalam aspek meningkatkan vaksinasi. Jadi saya berharap program vaksinasi dan bantuan yang lain dapat diteruskan untuk semua rakyat Malaysia supaya kita dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.”
“RIBUAN terima kasih diucapkan kepada kerajaan Malaysia kerana memberikan bantuan ini, memandangkan COVID-19 memberi kesan mendalam kepada rakyat khususnya yang telah kehilangan pekerjaan dan pendapatan serta terpaksa melalui kehidupan yang terlalu sukar. Melalui bantuan PEMULIH ini, ianya membantu semua golongan termasuk yang berstatus bujang.”
“PENANGGUHAN dan pembayaran secara ansuran bagi peminjam MARA dan PTPTN mempunyai kebaikan dan keburukannya yang mana kebaikan penangguhan dapat mengurangkan beban peminjam dan duit tersebut boleh digunakan sebagai tanggungan keperluan bulanan mereka.”
“SEBAGAI salah seorang sukarelawan kesihatan yg bertugas di bawah PRIVO (YOU4WP), dengan adanya elaun tambahan serta kenaikan bayaran saguhati melalui PEMULIH, ia dapat membantu sedikit sebanyak perbelanjaan harian sukarelawan. Bagi saya, bukan elaun yang dicari tetapi pengalaman berharga sepanjang bertugas sebagai sukarelawan dan petugas barisan hadapan yang diperlukan.”
“PADA pandangan saya, bantuan yang diberikan kepada penggiat industri seni sangat membantu berikutan para penggiat industri tidak dibenarkan melakukan pengambaran. Tetapi, pihak bertanggungjawab seharusnya melakukan kajian secara terperinci terhadap penggiat industri yang mengalami kesusahan dan terjejas dengan keadaan semasa.” – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM