Berita

KWP rangka mekanisme lebih efektif atasi masalah kesihatan mental

MENTERI Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa mengadakan perbincangan bersama para pakar, kaunselor, pensyarah, guru, NGO serta individu-individu mengenai isu kesihatan mental pada petang Khamis. MENTERI Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa mengadakan perbincangan bersama para pakar, kaunselor, pensyarah, guru, NGO serta individu-individu mengenai isu kesihatan mental pada petang Khamis.
- Diterbit 2 Julai 2021 8:58 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) sedang merangka mekanisme dan pendekatan yang lebih efektif untuk membantu warga Wilayah Persekutuan (WP) yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa peningkatan kes masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat terutama di dalam kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur merupakan masalah yang serius serta perlu ditangani segera dengan bantuan daripada pelbagai pihak.

“Di atas kesedaran ini KWP sedang merangka mekanisme dan pendekatan yang lebih efektif untuk membantu warga WP yang berhadapan dengan cabaran ini.

“Iaitu dengan bantuan para pemimpin masyarakat, Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pakar-pakar yang berpengalaman membantu individu dengan masalah kesihatan mental,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya beberapa siri perbincangan telah diadakan bagi memastikan pendekatan yang tepat dan terselaras melibatkan pemimpin-pemimpin Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) peringkat Zon dan Sub-Zon dalam WP, NGO-NGO dan kumpulan pakar yang berpengalaman mengendalikan kes-kes masalah kesihatan mental di dalam masyarakat serta NGO-NGO dan pihak-pihak yang ingin memberi sumbangan bagi memastikan program-program yang ingin dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar.

Ujarnya lagi pelbagai input telah disampaikan dalam perjumpaan secara maya dengan 70 orang wakil MPP yang mewakili setiap zon dan subzon di WP.

“Dalam perjumpaan secara maya itu, pelbagai input telah disampaikan termasuk bagaimana MPP boleh memainkan peranan yang penting dalam mengenal pasti pihak yang memerlukan bantuan segera dan berisiko menghadapi tekanan kesihatan mental.

“Pengerusi-pengerusi MPP juga menyatakan kesediaan untuk membantu penyampaian bantuan bakul makanan, penyelarasan senarai penerima bantuan, pengendalian dapur-dapur satelit dan bantuan kepada golongan yang terlantar di rumah (“bed-ridden“) mendapatkan vaksin,” tambahnya.

Manakala dalam perjumpaan secara maya bersama 39 individu yang terdiri daripada pakar-pakar kesihatan mental, kaunselor, pensyarah dan yang mewakili NGO-NGO yang berpengalaman membantu golongan dengan masalah kesihatan mental mencadangkan untuk mewujudkan pusat kesihatan mental bergerak, penggunaan sosial media sebagai platform kesedaran kesihatan mental, menganjurkan webinar serta menyediakan akses kepada bantuan psikologi di peringkat awal gejala kesihatan mental.

Annuar berkata dalam pertemuan bersama NGO-NGO yang ingin menyumbang tenaga dan dana dalam usaha-usaha membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula, mereka telah bersetuju untuk menyokong inisiatif Rumah Prihatin yang merupakan inisiatif terbaru penyampaian bantuan kepada warga WP yang diumumkan oleh beliau sebelum ini.

Beliau berkata KWP akan mempertimbangkan setiap cadangan dan usaha-usaha membantu warga WP akan terus diperkasa dari semasa ke semasa.

“KWP akan mempertimbangkan setiap cadangan yang dikemukakan oleh MPP, pakarpakar kesihatan mental dan semua NGO ini dan akan berusaha melaksanakannya secepat mungkin.

“Usaha-usaha membantu warga WP akan sentiasa diperkasa dari semasa ke semasa dan penglibatan setiap anggota masyarakat dan golongan pakar amat penting bagi memastikan kemenangan bersama dalam perang melawan Covid-19,” katanya. – WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas