Berita

95 pesakit Covid-19 pulih, satu kematian

- Diterbit 27 April 2020 12:13 PM MYT

Covid-19: Kes sembuh berganda dari kes baharu

PUTRAJAYA – Seramai  95 pesakit Covid-19 pulih hari ini menyaksikan jumlahnya lebih dua kali ganda berbanding kes baharu dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit yang pulih kini mencecah 3,957 kes.

“Ini menjadikan peratus keseluruhan pulih meningkat kepada 67.9 dari keseluruhan kes Covid-19 di negara ini.

“Setakat pukul 12 tengah hari ini, 40 kes baharu dilaporkan menjadikan keseluruhan kes sebanyak 5,820,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, dari jumlah itu 1,764 kes aktif dan boleh berjangkit tetapi semua pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini juga, 37 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 17 darinya memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat juga satu pertambahan kematian membabitkan lelaki tempatan berusia 78 tahun.

“Mangsa mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok. Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.31 pagi tadi.

“Ini menjadikan keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 99 kes iaitu 1.7 peratus dari kes keseluruhan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas