Berita

Malaysia masuki fasa pemulihan, kawalan pergerakan perlu diamalkan

KEBERSIHAN perlu diteruskan bagi menyekat penularan Covid-19. ANGGOTA bomba melakukan semburan nyah kuman di kawasan perumahan penduduk di Kampung Baru.
- Diterbit 27 April 2020 12:25 PM MYT

PUTRAJAYA -Jangkitan Covid-19 di negara ini memasuki fasa pemulihan susulan pertambahan kes yang kekal dengan dua digit sejak minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, beberapa pelan tindakan yang dikemukakan pihaknya tetap perlu diteruskan bagi mengawal jangkitan pandemik itu.

“Kawalan sempadan masih perlu diteruskan bagi mengelak berlaku kes import dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke Malaysia.

“Selain itu, kawalan pergerakan perlu diteruskan untuk memutuskan rantaian jangkitan virus ini.

“Paling utama adalah terletak kepada orang ramai untuk terus kekal di rumah dan menjalankan penjarakan sosial, selain menjaga kebersihan diri masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham ketika ini vaksin bagi merawat Covid-19 masih belum ditemui.

Katanya, vaksin itu hanya akan ditemui dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

“Paling penting kita perlu hentikan rantaian jangkitan ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas